Friday, January 30, 2009

PM TURKI TINGGALKAN SIDANG DAVOS SETELAH KECAM ISRAEL

*Gambar : Erdogan melambaikan tangan kepada rakyat Turki yang menyambut kepulangannya sebagai wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Istanbul. Perdana Menteri Turki itu bertindak meninggalkan sidang WEF di Davos setelah beliau dihalang meneruskan ucapannya berikutan tindakannya mengecam Presiden Israel, Shimon Peres dengan berkata : "Kamu membunuh orang."

DAVOS - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertindak meninggalkan sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini selepas terlibat dengan pertikaman lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung konflik di Genting Gaza. Erdogan berikrar tidak akan kembali semula menyertai forum itu yang dihadiri oleh golongan elit politik dan ahli perniagaan dunia.
*Gambar : Bengang...Recep Tayyip Erdogan berjalan keluar melintasi Peres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon dan Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa (kanan sekali) selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres mengenai isu keganasan rejim Zionis pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
Dalam detik-detik paling dramatik yang jarang dilihat berlaku pada forum Davos, Erdogan berjalan keluar meninggalkan dewan di hadapan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan anggota panel lain dengan mendakwa, beliau telah dipaksa memendekkan kenyataannya mengenai perang itu.
"Saya tidak fikir saya akan kembali ke Davos selepas ini kerana anda tidak membenarkan saya bercakap," kata Perdana Menteri itu sebelum beredar, meskipun beliau kemudiannya menyatakan kesediaan untuk menimbangkan semula keputusannya itu.
Erdogan mengkritik para hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan ahli politik antarabangsa kerana memberikan tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban. Beliau yang mengetuai segelintir negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza sebagai tindakan 'tidak bertamadun'.
"Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas Peres berucap kerana ramai penduduk Palestin telah terbunuh," katanya kepada Peres sebelum dicelah oleh pengerusi sesi iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius.
"Kita tidak boleh memulakan perbahasan semula kerana kita kesuntukan masa," kata Ignatius kepada Perdana Menteri Turki itu.
Peres sebelum itu mendakwa Israel terpaksa melancarkan serangan ke atas Hamas kerana ribuan roket dan mortar telah dilancarkan ke wilayah Israel. Sambil meninggi suara dan menuding jari ke arah Erdogan, beliau berkata, Turki sudah tentu bertindak sama jika roket dilancarkan ke Istanbul.
Ki-Moon, Erdogan, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa dan Peres duduk dalam satu barisan untuk menyertai perbahasan itu dan kesemua mereka membuat kenyataan panjang lebar mengulas mengenai konflik tersebut.

No comments: