Sunday, January 25, 2009

KERAJAAN BRITAIN KECAM BBC

*Gambar : Para penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan BBC di London.

LONDON – Stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) dikecam hebat oleh kerajaan Britain dan para aktivis kerana berkeras dengan pendiriannya untuk tidak menyiarkan rayuan bantuan kecemasan bagi penduduk Palestin di Genting Gaza.
BBC yang memberi alasan penyiaran rayuan tersebut boleh menjejaskan sikap berkecualinya, juga mempersoalkan sama ada bantuan boleh disalurkan dengan berkesan kepada penduduk di Gaza. Bagaimanapun keputusan BBC itu mencetuskan kritikan hebat daripada kerajaan Perdana Menteri, Gordon Brown dan pertubuhan-pertubuhan Islam, sementara beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat BBC untuk memprotes pendirian tersebut.
BBC yang mendapat pembiayaan kerajaan kini satu-satunya stesen penyiaran bukan satelit yang enggan menyiarkan rayuan bantuan oleh Jawatankuasa Kecemasan Bencana (DEC).
Ketiga-tiga pesaing BBC menyatakan mereka akan menyiarkan rayuan tersebut
. DEC yang menggabungkan beberapa badan kebajikan seperti Palang Merah Britain dan Oxfam menekankan ia bukan sebuah pertubuhan politik dan usahanya semata-mata untuk memenuhi keperluan kemanusiaan.
Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Douglas Alexander menggesa BBC mengubah pendiriannya itu. “Saya fikir rakyat Britain boleh membezakan antara sokongan untuk bantuan kemanusiaan dengan sikap berat sebelah dalam sesuatu konflik,” katanya di radio BBC.
Alexander menambah, beliau mendapati sukar untuk mempercayai hujah BBC itu apabila melihat penderitaan penduduk yang sangat dahsyat di Gaza sekarang. Majlis Muslim Britain pula menyifatkan keputusan BBC itu sebagai pengabaian kewajipan yang sangat serius.

No comments: