Friday, January 30, 2009

7 PEGAWAI ISRAEL DISIASAT

MADRID - Mahkamah Tinggi Sepanyol akan melancarkan siasatan terhadap tujuh pegawai Israel berkaitan jenayah perang, termasuk seorang bekas Menteri Pertahanan, berhubung serangan yang membunuh 14 orang awam dan seorang komander Hamas di Genting Gaza pada tahun 2002.
Undang-undang Sepanyol membenarkan rakyat asing didakwa atas tuduhan jenayah seperti pembunuhan kaum, jenayah terhadap kemanusiaan dan penyeksaan yang dilakukan di mana-mana tempat di dunia.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyifatkan kes Gaza itu sebagai 'delusi.' Pusat Hak Asasi Manusia Palestin yang berpejabat di Gaza telah memfailkan kes tersebut terhadap bekas Menteri Pertahanan, Binyamin Ben-Eliezer serta enam pegawai tentera Israel yang kebanyakannya kini sudah bersara.
Mereka dikatakan terlibat dalam keputusan untuk menggugurkan sebuah bom seberat satu tan dari sebuah jet F-16 ke atas sebuah blok perumahan yang penuh sesak dengan penduduk pada 22 Julai 2002.
Letupan itu telah membunuh komander Hamas, Salah Shuhada tetapi Pusat Hak Asasi Manusia Palestin menyatakan bahawa kes itu difailkan bagi pihak keluarga kepada 14 penduduk awam yang terkorban, sembilan daripada mereka adalah kanak-kanak dan 96 lagi penduduk yang cedera.
"Jika Israel ingin menjadi sebuah negara bertamadun, ia perlulah mematuhi kedaulatan undang-undang dan kedaulatan undang-undang tidak ditegakkan dengan menggugurkan bom seberat 1,000 kilogram," kata peguam pertubuhan Palestin itu, Gonzalo Boye.

No comments: