Sunday, January 25, 2009

BBC DICEMUH, AL-JAZEERA TARIK PENONTON AMERIKA SYARIKAT

*Gambar : Kanak-kanak Palestin bermain dekat kawasan kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel di Jabaliya, Gaza.

LONDON : Keengganan menyiarkan rayuan mengumpul dana untuk penduduk Palestin menyebabkan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) dikecam hebat manakala al-Jazeera mendapat perhatian penduduk Amerika Syarikat kerana menjadi stesen TV tunggal melaporkan serangan Israel di Gaza dari wilayah itu.
Dalam satu blog di laman webnya, Ketua Pengarah BBC, Mark Thompson menulis : "Gaza masih menjadi satu cerita besar yang berterusan di mana isu kemanusiaan menjadi cerita utama dan terus dibahaskan. Kadang kala ia bukan tempat yang sesuai tetapi kami mempunyai satu tugas untuk memastikan bahawa tiada risiko yang terpaksa diambil. Ia bertujuan melindungi dan kami membuat keputusan sukar berkenaan," kata Thompson.
*Gambar : Dua orang lelaki memakai topeng Presiden Mahmoud Abbas (kanan) dan Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas, bersalam sebagai simbol menggesa puak Palestin bersatu di perkampungan Bilin, Ramallah di Tebing Barat.

Sementara itu, bilangan penonton Amerika bagi rangkaian al-Jazeera versi Inggeris meningkat secara mendadak ketika kempen serangan Israel ke atas Hamas berikutan hanya stesen itu mempunyai wartawan yang melaporkan perkembangan secara langsung dari Gaza. Penonton menontonnya melalui internet dengan memanfaatkan kemunculan media online seperti halaman web Twitter yang menyediakan maklumat terkini mengikut masa sebenar. Ketika konflik selama 22 hari itu berakhir hujung minggu lalu, stesen berkenaan dan rangkaian berbahasa Arab stesen itu menyiarkan lebih banyak gambar berbanding media Amerika mengenai bilangan kematian serta kecederaan wanita dan kanak-kanak Palestin.

*Gambar : Para penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam pendirian BBC tetapi memuji al-Jazeera dalam isu membantu penduduk Palestin di Gaza ketika membantah di London.

Secara keseluruhan video halaman web stesen itu menyaksikan kenaikan sehingga 600 peratus dari segi jumlah penonton di seluruh dunia ketika serangan Gaza dan kira-kira 60 peratus datangnya dari Amerika sendiri, berdasarkan bilangan dalaman stesen berkenaan sendiri.

No comments: