Saturday, January 24, 2009

GAZA TIDAK DIBUKA SEPENUHNYA - ISRAEL

*Gambar :Sebahagian pelajar Palestin di sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Beit Lahia, beratur untuk memasuki kelas buat kali pertama selepas sesi persekolahan dimulakan semula setelah tentera Israel berundur dari Gaza.

GENTING GAZA - Israel menolak permintaan antarabangsa untuk membuka sepenuhnya sempadan di Genting Gaza. Bagaimanapun, pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuji tindakan rejim Zionis berkenaan kerana membenarkan 120 trak yang membawa bekalan makanan dan ubatan memasuki Genting Gaza setiap hari.
Sementara itu, diplomat lain mengutuk sekatan ke atas keluli dan simen ke wilayah Palestin tersebut yang diperlukan untuk membaik pulih bangunan yang musnah akibat serangan Israel.
Israel turut menyekat pihak berkuasa Palestin daripada membuat penghantaran wang tunai ke Genting Gaza. "Mereka takut wang berkenaan akan disalurkan kepada Hamas," kata seorang pegawai kanan diplomat barat.
Seorang penasihat Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, yang enggan dikenali berkata : "Jika tindakan itu akan mengukuhkan Hamas, kami tidak akan melakukannya." Israel percaya sekatan itu akan memberi pengaruh terhadap rundingan damai dengan Hamas anjuran Mesir bagi membebaskan tenteranya, Gilad Shalit yang ditangkap oleh pejuang Hamas pada 2006.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama baru-baru ini berkata, sempadan Genting Gaza harus dibuka semula bagi membolehkan kumpulan hak asasi manusia dan barangan keperluan disalurkan dengan 'dipantau oleh rejim' dan pihak berkuasa Palestin pimpinan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Obama turut merancang menghantar duta Timur Tengahnya, George Mitchell ke wilayah berkenaan tidak lama lagi untuk menyokong gencatan senjata yang diisytiharkan Israel selepas Washington dan kuasa-kuasa Eropah berjanji untuk membantu menghentikan penyeludupan senjata kepada Hamas.

No comments: