Thursday, January 29, 2009

ISRAEL BEDIL BENGKEL SENJATA

*Gambar : Seorang kanak-kanak lelaki Palestin yang cedera dalam serangan terbaru Israel di bandar Khan Younis meraung menahan kesakitan ketika dirawat di hospital Khan Younis, selatan Gaza.

GAZA CITY - Pesawat perang Israel mengebom sebuah bengkel pengeluaran senjata di Genting Gaza, selepas pejuang Palestin melancarkan sebuah roket ke wilayah Israel. Israel melancarkan serangan itu, ketika Duta Khas Amerika Syarikat ke Asia Barat, George Mitchell berada di rantau ini dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata yang diisytiharkan lebih 10 hari lalu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu yang dilancarkan oleh Israel sebelum subuh ke atas sasaran di bandar Rafah, dekat sempadan Gaza dengan Mesir. Saksi dan pejuang Hamas berkata, sebuah bengkel membuat acuan logam mengalami kerosakan.
Sejurus sebelum itu, sebuah kumpulan pejuang yang ada hubungan dengan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas mengaku bertanggungjawab melancarkan sebuah roket ke selatan Israel. Jet pejuang Israel kemudian melancarkan satu lagi serangan ke atas bandar Khan Younis mengakibatkan 18 cedera, termasuk 11 murid sekolah, seorang wanita mengandung dan seorang polis Hamas.
Serangan roket itu adalah yang pertama dari Gaza sejak Israel dan Hamas mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada 18 Januari lalu, bagi menamatkan kempen serangan Israel selama 23 hari ke atas wilayah Palestin tersebut. Walaupun serangan roket itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa di pihak Israel, para pemimpin Yahudi yang bakal menghadapi pilihan raya umum pada 10 Februari ini telah berikrar untuk membalas sebarang tembakan roket pejuang Palestin dari Gaza itu.
Rejim Yahudi itu telah memberi amaran akan mengambil tindakan lebih keras terhadap pembunuhan seorang askarnya dalam satu letupan dekat pagar sempadan Gaza baru-baru ini.

No comments: