Friday, January 16, 2009

BAN KI MOON TEMPELAK MENTERI PERTAHANAN ISRAEL

*Gambar : Aktivis Filipina membantah sokongan Amerika kepada Israel dalam kempen di Gaza ketika mengadakan bantahan di Manila.

PARIS : Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon, mengetuai bantahan antarabangsa selepas Israel mensasarkan hospital, bangunan media dan pekarangan pejabat agensi PBB serta menyifatkan angka kematian mangsa Palestin sebagai 'sesuatu yang tidak dapat diterima'. "Saya menyampaikan bantahan kuat dan kemarahan saya dan mendesak penjelasan penuh daripada Menteri Pertahanan (Ehud Barak) dan Menteri Luarnya (Tzipi Livni)," kata Ban kepada wartawan di Tel Aviv selepas serangan dilakukan ke atas bangunan PBB di Gaza.
Agensi bantuan PBB menggantung operasinya di Gaza selepas kawasan bangunan pertubuhan itu dibedil oleh Israel, mengakibatkan dua gudangnya terbakar dan membantutkan penyampaian bantuan yang begitu diperlukan. Serangan Zionis yang lain menyebabkan sebahagian daripada sebuah hospital terbakar dan mencederakan dua jurukamera di bangunan yang menempatkan anggota media Arab dan negara asing. "Jumlah mangsa sudah sampai ke tahap yang tidak dapat diterima lagi," kata Ban.
*Gambar : Penunjuk perasaan Korea Selatan di Seoul membawa gambar dan patung yang melambangkan kanak-kanak Gaza menjadi mangsa kekejaman Israel.

Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Persatuan Palang Merah (ICRC), Jakob Kellenberger, yang turut melawat kawasan kependudukan itu dan Israel, juga mengutuk serangan berkenaan. Menurutnya, apa yang berlaku 'tidak boleh diterima' kerana ia meletakkan pesakit yang mendapat rawatan di hospital dalam bahaya. Berikutan pengeboman kawasan PBB, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice bercakap dengan Barak dan Livni menerusi telefon, kata jurucakapnya, Sean McCormack. Sementara itu, Perhimpunan Agung PBB memulakan sesi tergempar dengan presidennya, Miguel d'Escoto menuduh Israel mencabuli undang-undang antarabangsa dengan meneruskan serangan mautnya.
*Gambar : Seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk bermaksud 'Saya Yahudi. Jangan Membunuh Atas Nama Saya', dalam protes di Buenos Aires terhadap serangan Israel di Gaza.

"Gaza sudah hangus. Ia sudah jadi seperti neraka yang terbakar," kata D'Escoto. "Pencabulan undang-undang antarabangsa begitu jelas dalam tindakan Israel yang dilakukan ke atas Gaza termasuk bilangan anggota tentera yang lebih ramai khususnya serangan ke atas sasaran awam meliputi rumah, masjid, universiti dan sekolah," tambahnya. Sejak Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu, sekurang-kurangnya 1,133 orang termasuk kanak-kanak, terkorban di wilayah ditakluki itu, kata ketua perkhidmatan kecemasan, Moawiya Hassanein. Seramai 5,200 lagi cedera.

No comments: