Saturday, January 31, 2009

HAMAS PUJI KEBERANIAN ERDOGAN

ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendapat pujian daripada pergerakan Hamas kerana tindakannya mengecam Presiden Israel, Shimon Peres berhubung pembunuhan penduduk awam Palestin di Genting Gaza.
Erdogan menegaskan, semua perlu bersuara apabila melihat kezaliman dilakukan.
"Tiada siapa patut memaparkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita sebagai kemalangan semata-mata. Membisu apabila berdepan dengan kezaliman adalah sama seperti melakukan kezaliman itu sendiri," kata beliau semasa merasmikan pembukaan sebuah stesen kereta api bawah tanah di sini.
Sementara itu, bendera Turki yang berwarna merah dan putih berkibaran di sisi bendera hijau Hamas pada rapat umum di seluruh Gaza serta di tengah-tengah runtuhan sebuah masjid yang dibom oleh Israel di kem pelarian Jabaliya di wilayah Palestin itu. Kira-kira 5,000 penyokong Hamas kemudian, berhimpun di depan bangunan Parlimen Palestin yang rosak teruk, dengan sebilangannya mengibarkan bendera Turki dan membawa potret Erdogan.
"Kami menganggap tindakan Perdana Menteri Turki itu sebagai menandakan pendirian yang berani dan bertanggungjawab, yang mencerminkan sentimen dan pandangan ummat Islam serta mengesahkan hak-hak rakyat Palestin," kata ahli Parlimen Hamas, Mushir al-Masri Mashir.
Beliau menganggap pendirian itu sebagai jauh lebih maju daripada apa yang diambil oleh kebanyakan negara Arab dan Islam.

No comments: