*Gambar : Bendera Turki turut berkibaran di samping bendera Hamas semasa perhimpunan rakyat Palestin di Genting Gaza sebagai tanda penghargaan mereka terhadap keberanian Erdogan 'mengajar' Shimon Peres.
ISTANBUL - Tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bertikam lidah dengan Presiden Israel di Forum Ekonomi Dunia di Davos, mungkin menjejaskan kedudukan Turki sebagai perantara proses damai Asia Barat tetapi ia membantu mengukuhkan pengaruh serantaunya dalam jangka masa panjang.
Apabila Shimon Peres menuding jarinya ke arah Erdogan semasa mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, beliau mungkin tidak menyedari sikap Erdogan yang pantang dicabar sedemikian. Erdogan semasa menjawab soalan Peres bagaimana beliau akan bertindak jika peluru roket ditembak ke Istanbul, yang pastinya bukan jawapan yang disediakannya tetapi tepat kepada maksudnya.
"Presiden Peres ! Awak lebih tua dari saya dan suara awak lebih nyaring,'' katanya kepada pemimpin Yahudi itu. ''Penyebab awak meninggikan suara adalah psikologi dari perasaan bersalah. Saya tidak akan meninggikan suara sebegitu. Apabila bercakap soal membunuh, awak lebih tahu bagaimana untuk membunuh. Saya amat maklum bagaimana anda menembak dan membunuh kanak-kanak di atas pantai,'' ujarnya pada Peres.
Ribuan rakyat Turki menyambut kepulangannya di Istanbul sambil mengibarkan bendera Turki dan Palestin. Orang ramai memuji beliau kerana berani berdepan dengan layanan tidak adil di forum antarabangsa tersebut dan berani memberitahu Israel apa yang dirasai oleh ramai rakyat Turki mengenai serangan ke atas Gaza.
''Untuk kebanyakan bangsa Turki dan bukan hanya penyokongnya dalam Parti AK, Erdogan akan dilihat sebagai seseorang yang telah membawa kebanggaan kepada Turki. Di peringkat tempatan, ia sekurang-kurangnya akan mengukuhkan imej dan kredibiliti beliau," kata Cengiz Candar, seorang pakar isu Turki dan Asia Barat.
Turki, sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem sekular, berada dalam kedudukan unik di rantau ini kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan negara-negara Arab.
''Erdogan mungkin akan tercatat dalam sejarah diplomatik sebagai pemimpin Turki yang mengajar Presiden Israel, tetapi persoalannya apakah Turki akan mendapat manfaat daripadanya?,'' kata penulis kolum, Murat Yetkin dalam akhbar Radikal. ''Bukankah ciri-ciri paling penting dimiliki Turki ialah keupayaannya untuk berunding dengan Israel, Syria dan Iran secara serentak?'' tambah beliau.
Peres berkata, beliau sudah bercakap dengan Erdogan menerusi telefon selepas debat di Davos itu, mungkin satu petanda Israel masih menghargai peranan Turki.
Erdogan sedang berusaha untuk membina jambatan dengan negara-negara Arab menunjukkan kesukaran yang dihadapi Turki. Turki, sebagai anggota NATO yang juga mahu menyertai Kesatuan Eropah, telah meletakkan dirinya sebagai perantara dalam konflik Asia Barat. Dalam dunia Arab, tindakan Erdogan telah disambut baik tatkala pemimpin-pemimpin mereka sendiri dikritik kerana gagal menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan lebih 1,300 orang Palestin.
''Dengan satu tindakan, mungkin tidak disengajakan, Erdogan kini menjadi hero dalam dunia Arab. Beliau telah menjadi suara bagi orang Arab semasa ketiadaan suara berwibawa dari pemimpin Arab sendiri,'' kata Candar. Kerajaan-kerajaan Turki sebelum ini, secara umumnya menghindarkan diri daripada terlibat dengan dunia Arab dan memilih untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan Barat.
''Daripada sudut pandangan politik, tindakan Erdogan adalah salah, mungkin juga bodoh tetapi seseorang perlu bersuara terhadap Israel dan saya gembira Erdogan telah berbuat demikian,'' kata Mustafa Aydin, 49, seorang tokoh tempatan di Istanbul.
No comments:
Post a Comment