Sunday, January 18, 2009

ISRAEL HENTI SERANG GAZA

*Gambar : Penduduk Palestin pulang ke rumah masing-masing di Beit Lahia, Gaza selepas gencatan senjata diumum.

BANDAR GAZA : Tentera Israel di Semenanjung Gaza diarahkan untuk menghentikan serangan selepas Israel mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak bertujuan menamatkan serangan kejam selama tiga minggu peperangan ke atas militan yang didakwa menyerang selatan Israel dengan roket.
Namun beberapa jam kemudian, pejuang Islam melepaskan 10 roket ke dalam Israel, sebelum mengeluarkan kenyataan untuk turut memulakan gencatan senjata selama seminggu ketika wakil negara-negara asing menuju ke Mesir untuk cuba mengukuhkan lagi gencatan senjata.
Di Gaza, penduduk mengisi van dan kereta keldai dengan selimut dan mula bertolak ke rumah mereka untuk melihat apa yang tinggal selepas serangan udara dan darat di jajahan tepi laut. Jengkaut mula menyodok runtuhan di bandar ini, pusat penduduk terbesar jajahan itu, bagi memberi laluan kepada kenderaan ketika pekerja perubatan mencari berpuluh mayat di sebalik runtuhan timbunan konkrit. Di selatan Israel, penduduk yang melarikan diri daripada serangan roket selama lapan tahun menuduh kerajaan menghentikan serangan lebih awal.
*Gambar : Sekumpulan tentera Yahudi melintas masuk ke Israel selepas gencatan senjata diumumkan oleh Perdana Menteri, Ehud Olmert.

Israel menghentikan serangan bersenjata dan pesawat pejuang sebelum mencapai penyelesaian panjang terhadap masalah penyeludupan senjata ke Gaza, satu daripada sasaran perang terbabit. Malah, perisytiharan Israel untuk menempatkan tenteranya di Gaza sehingga pejuang Islam menghentikan serangan menambah prospek pertembungan lanjut dengan Hamas, yang berkata mereka akan berjuang sehingga semua askar Israel berundur.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa pukul 2 pagi waktu tempatan selepas 22 hari serangan yang membunuh kira-kira 1,200 rakyat Palestin, separuh daripadanya orang awam, menurut pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Seramai 13 warga Israel turut maut. Sementara itu, anggota perubatan Palestin membawa 95 mayat daripada timbunan bangunan di Gaza, satu daripadanya membabitkan seorang remaja wanita berusia 14 tahun.
Majoritinya ditemui di bandar Jabaliya dan Beit Lahiya serta ada juga di Zeitun, kata Dr Muawiya Hassanein, ketua pentadbiran kecemasan di Gaza. Israel membuat keputusan menangguhkan serangan beberapa hari sebelum perisytiharan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat 20 Januari ini. Setiausaha Negara Amerika yang bakal berundur Condoleezza Rice berkata pentadbiran Bush mengalu-alukan keputusan Israel.

No comments: