Wednesday, January 21, 2009

HAMAS RAI PENGUNDURAN ISRAEL

*Gambar : Penduduk Palestin membawa bendera Hamas sambil melaung-laungkan slogan anti-Israel semasa berarak di kawasan runtuhan bangunan di Jabaliya, Gaza.

GAZA - Pengisytiharan Hamas sebagai pemenang dalam menentang serangan pencerobohan habis-habisan tentera rejim zionis Israel baru-baru ini disambut dan dirai oleh ribuan penyokongnya dengan bendera Islam berwarna hijau berkibar megah di tengah lautan kemusnahan Gaza.
Dengan penuh kebencian para pejuang Islam menzahirkan cemuhan ke atas rejim zionis melalui sepanduk besar dalam bahasa Hebrew berbunyi - 'Kekalahan yang memalukan Yahudi Israel', 'Gaza hanya perlu membaling seketul batu untuk menyingkirkan negeri Yahudi'.
Pemimpin Hamas, Ismail Radwan ketika berucap dari tingkat atas dataran Gaza dengan membelakangkan bangunan parlimen yang musnah teruk pada perhimpunan raksasa itu berkata, "Hamas sekarang lebih berkuasa dan digeruni."
Hamas bagaimanapun tidak menyatakan sebarang rancangan pelan pembangunan semula Gaza yang habis ranap ekoran serangan pencerobohan lebih tiga minggu tentera rejim zionis Israel dan menyebabkan kerugian kira-kira USD2 bilion. Turut musnah ialah di kawasan sempadan Gaza antara Mesir dan Israel yang hanya akan dibuka semula jika para pejuang melepaskan kawalan mereka.
Beberapa meter daripada kawasan Hamas berhimpun, pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon meninjau ibu pejabat PBB di Gaza dan memeriksa kerosakan serta kemusnahan akibat pengeboman serta bedilan dalam serangan pencerobohan tentera rejim Israel minggu lalu. Kedai membaiki kereta dan tiga buah gudang penyimpanan tepung, minyak dan stok bekalan makanan untuk keperluan penduduk di situ turut musnah.
Lima hari selepas tamat serangan, semua bekalan beras, kekacang dan ubat-ubatan masih terbakar dan asap putih meluap ke udara, hanya beberapa meter sahaja dari tempat Ki-moon bercakap kepada pemberita dengan pesawat peninjau tanpa juruterbang Zionis terbang berhampiran.
Pemimpin tertinggi dunia itu 'benar-benar marah dan kecewa' dengan serangan ke atas gudang dan dua bangunan sekolah PBB dengan mengarah agar siasatan penuh dilakukan. Rejim zionis Israel bagaimanapun mendakwa serangan dibuat untuk membalas tembakan para pejuang di kawasan terlibat dan berjanji untuk membuat siasatannya sendiri.
Hasil lawatan tersebut Ki-Moon memberitahu bahawa ratusan tong bekalan makanan dan ubat-ubatan habis musnah dalam serangan Khamis lalu. "Ia betul-betul tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak boleh diterima," katanya sambil menggelengkan kepalanya.
Ketika melawat bandar Sdetor di sempadan Israel yang menjadi sasaran serangan roket Hamas kemudiannya, dia hanya melahirkan simpati kepada penduduk setempat dengan berkata, "Hari-hari hidup anda ditemani bunyi dan letupan roket di udara. Tidak ada manusia yang boleh hidup dalam negeri seperti ini. Saya mengharap undang-undang hak asasi kemanusiaan dapat melindungi kehidupan orang-orang awam agar ia lebih diyakini dan dihormati."
Secara peribadi, Ki-Moon bersungguh-sungguh untuk berusaha menamatkan peperangan yang membunuh lebih 1,300 orang rakyat Palestin termasuk 900 orang awan dan 168 polis awam, menurut Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Palestin (PCHR).
Di Gaza sahaja, menurut laporan itu, kira-kira 156 pejuang terbunuh termasuk 48 pejuang Hamas, 34 dari kumpulan Jihad Islam dan yang lain adalah kumpulan sokongan Fatah di bawah pimpinan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Moawiya Hassanain berkata, beliau yakin Hamas tidak melaporkan semua pejuangnya yang terkorban. Pemimpin Hamas tidak pernah memberi kenyataan mengenai angkatan pejuangnya yang terkorban kerana tidak mahu melemahkan semangat mereka. Hamas mempunyai kira-kira 20,000 orang pejuang. Cuma pada beberapa kes tertentu diisytiharkan oleh Hamas seperti pelancaran lebih 2,500 roket ke kawasan Israel sebagai serangan balas sepanjang dua minggu.

No comments: