Friday, January 16, 2009

KERETA KEBAL ISRAEL BEDIL HOSPITAL

*Gambar : Penduduk Palestin mengusung jenazah ahli keluarga Menteri Dalam Negeri Hamas, Sa'id Siyam semasa pengkebumian di Bandar Gaza.

BANDAR GAZA - Tentera-tentera rejim Zionis membedil sebuah hospital di bandar Gaza menggunakan peluru meriam yang mengandungi fosforus putih. Serangan tersebut menyebabkan bangunan hospital tersebut terbakar dan beratus-ratus penduduk Palestin yang dirawat di hospital itu lari menyelamatkan diri.
Ini merupakan kali kedua Israel menggunakan senjata yang diharamkan itu. Pada Ahad lepas, tiga penduduk Palestin terbunuh, manakala berpuluh-puluh lagi cedera akibat tembakan meriam kereta kebal Israel di Genting Gaza, sesetengahnya dipercayai terkena bom mengandungi fosforus putih.
Serangan tersebut dilancarkan semasa berlangsungnya Sidang Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) yang mengambil pendirian mengecam tindak-tanduk rejim Zionis itu. Dalam kejadian itu, beratus-ratus pesakit yang berkerusi roda dan terlantar berpusu-pusu cuba keluar dari bangunan Hospital Al-Quds yang terbakar itu.
Dalam suasana kelam-kabut, pesakit yang cedera dalam serangan Israel sebelum ini berusaha sedaya upaya untuk bangun dari katil mereka dan keluar dari bangunan tersebut, walaupun menghadapi cuaca dingin. Sekurang-kurangnya tiga orang bayi di dalam inkubator dan tiga pesakit yang menggunakan alat bantuan pernafasan berjaya dibawa keluar dari hospital itu menggunakan kerusi roda, kata seorang jurugambar AFP.
Berpuluh-puluh keluarga mencari perlindungan di hospital itu pada waktu subuh dengan membawa bayi dan kanak-kanak kecil, selepas puluhan kereta kebal Israel memasuki kawasan kediaman mereka dan mencetuskan pertempuran sengit dengan pejuang Palestin.
Sepanjang hari suasana bingit dengan bunyi tembakan meriam kereta kebal, letupan peluru berpandu, bedilan helikopter dan senjata automatik berpunca daripada pertempuran yang berlaku kurang 300 meter dari hospital itu.
Apabila pertempuran bertambah sengit, berpuluh-puluh lagi keluarga tiba di hospital itu dan cuba mencari tempat berlindung tanpa menjangka kebakaran yang bakal berlaku akibat tembakan Israel. Kebakaran di kawasan perubatan berjaya dipadamkan tetapi bangunan pentadbiran masih terbakar.
Pegawai hospital berkata, kebakaran itu berpunca daripada peluru meriam mengandungi fosforus putih, menyebabkan sukar untuk memadamkannya. Serangan itu mengancam kira-kira 500 pesakit dan kakitangan perubatan, menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.

No comments: