Wednesday, December 31, 2008

GAZA TERUS DIBEDIL BUAT HARI KELIMA

GENTING GAZA – Bedilan Israel ke atas Gaza masuk hari kelima dengan lebih 35 serangan dilancarkan yang disasarkan ke atas pejabat kerajaan Hamas, fasiliti simpanan senjata dan terowong rahsia. Serangan hari kelima telah menyebabkan 16 lagi penduduk Palestin terkorban dan 210 yang lain cedera.
Menurut pasukan perubatan di Gaza, jumlah penduduk Palestin yang terkorban sejak Israel mula melancarkan serangan pada 27 Disember yang lalu telah meningkat kepada 390 orang termasuk 24 kanak-kanak, manakala 1,900 yang lain cedera.
Angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada mangsa yang terbunuh adalah orang awam.
Pejabat Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh dan terowong-terowong rahsia dekat sempadan Gaza-Mesir turut menjadi sasaran tentera Israel.
Namun, itu tidak menyekat Hamas bertindak balas melancarkan serangan roket ke wilayah Israel. Hamas telah melancarkan lebih 20 roket ke wilayah Israel. Para pejuang Hamas mensasarkan serangan roket ke arah bandar Beersheva di wilayah Israel yang terletak 40 kilometer dari sempadan Gaza, iaitu tembakan roket paling jauh setakat ini.
“Kami ingin mengkhabarkan kepada pemimpin musuh bahawa sekiranya kamu meneruskan serangan, roket kami akan disasarkan lebih jauh daripada sebelum ini,” kata jurucakap Briged 'Izzuddin al-Qassam, sayap bersenjata Hamas.

Tuesday, December 30, 2008

PEJUANG HIZBULLAH DIARAH BERSIAP SEDIA

BEIRUT - Pemimpin Hizbullah di Lebanon, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah berkata, beliau telah meletakkan pejuangnya dalam keadaan bersiap sedia terhadap kemungkinan Israel menyerang Lebanon selepas rejim Yahudi itu menyerang Genting Gaza tiga hari berturut-turut yang menyebabkan lebih 300 rakyat Palestin terbunuh.
Hassan memberitahu satu perhimpunan agama di selatan Beirut, serangan Israel ke atas Gaza tidak ubah seperti serangannya ke atas Lebanon semasa perang 33 hari dengan Hizbullah pada tahun 2006. Kira-kira 1,200 penduduk Lebanon dan Palestin terbunuh semasa perang tersebut, manakala 158 maut di pihak Israel.
"Saya telah meminta saudara-saudara seperjuangan di selatan (Lebanon) supaya berwaspada kerana kita berdepan dengan penjenayah sebagai musuh dan kita tidak tahu sejauh mana muslihat mereka," katanya. Kenyataan itu adalah yang pertama daripada beliau selepas serangan Israel ke atas penduduk Gaza.

HAMAS SEDIA TANDATANGANI GENCATAN SENJATA

DAKAR - Pemimpin Hamas, Khaled Mesh'aal menyatakan kesediaannya untuk menandatangani gencatan senjata dengan Israel di Genting Gaza, yang akan melibatkan Israel menghentikan serangan dan sekatan ke atas wilayah Palestin itu.
Menurut Kementerian Luar Senegal, cadangan gencatan senjata di Gaza itu dikemukakan oleh Presiden Senegal, Abdoulaye Wade, yang juga Pengerusi Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) kepada Khaled ketika beliau menghubungi pemimpin Hamas itu melalui telefon.
"Pemimpin Hamas itu memaklumkan bahawa beliau bersedia menandatangani perjanjian itu (gencatan senjata) di tempat yang dipilih dengan persetujuan kedua-dua pihak," menurut kenyataan kementerian tersebut.
"Abdoulaye mencadangkan gencatan senjata muktamad antara Israel dengan Hamas menerusi pemeteraian satu perjanjian. Di bawah perjanjian itu, Hamas dan Israel akan mematuhi gencatan senjata dengan segera, disusuli langkah Israel menarik balik seluruh sekatan ke atas Genting Gaza," menurut kenyataan berkenaan.
Abdoulaye dalam kenyataan berasingan mengutuk serangan udara Israel ke atas Gaza sebagai 'tidak wajar sama sekali'. "Pengerusi OIC menuntut Israel menghentikan segera pengeboman dan segala serangan lain ke atas wilayah Palestin," menurut kenyataan tersebut.

Monday, December 29, 2008

DEMONSTRASI DI SELURUH DUNIA KUTUK ISRAEL

*Gambar : Penunjuk perasaan bertempur dengan polis semasa mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Israel di London sebagai mengutuk serangan Israel di Genting Gaza.

LONDON - Beberapa bandar utama di dunia mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap serangan udara Israel ke atas Genting Gaza, yang membunuh lebih 300 orang penduduk Palestin. Polis Britain telah menahan 10 orang apabila demonstrasi di hadapan Kedutaan Israel di London bertukar menjadi ganas. Polis anti-rusuhan juga dikerahkan selepas penunjuk perasaan mengalihkan halangan di kedutaan tersebut.
Setiausaha Luar Britain, David Miliband mendesak agar 'gencatan senjata diadakan dan pemberhentian segera semua keganasan' di Gaza. Seruan serupa turut dibuat oleh Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang telah berhubung dengan rakan sejawatannya di Israel, Tzipi Livni.
Diplomat tertinggi Itali dan Sepanyol, Franco Frattini dan Miguel Angel Moratinos turut bercakap melalui telefon dengan Livni yang mengatakan 'Israel akan cuba mengehadkan kesengsaraan penduduk Gaza'.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam perbualan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga menyatakan kebimbangan mengenai keganasan di rantau itu dan kedua-dua pihak perlu menghentikan serangan.
Di sekitar Eropah, polis Denmark telah menahan seorang lelaki dalam protes di Copenhagen selepas dia membaling molotov cocktail ke arah polis. Di Paris, kira-kira 200 orang berkumpul di Champs Elysees, sementara di daerah Barbes, utara Perancis, 1,300 orang menyertai protes anti-Israel.

GAZA TERUS BERMANDI DARAH

*Gambar : Kejam...Ribuan penduduk Gaza berarak mengiringi jenazah kanak-kanak Palestin, Dena Balosha, 4 tahun, untuk dikebumikan. Dena dan empat ahli keluarganya terbunuh dalam serangan terbaru tentera Israel.

BANDAR GAZA – Jet-jet pejuang Israel mengebom kedudukan Hamas di Genting Gaza buat hari ketiga berturut-turut menyebabkan tujuh orang terbunuh, termasuk kanak-kanak. Antara mangsa yang terkorban ialah empat kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 12 tahun daripada sebuah keluarga.
Mereka terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah masjid dekat rumah mereka di pekan Jabaliya, utara Gaza, manakala dua budak lelaki terbunuh dalam satu serangan di bandar Rafah, selatan wilayah ini.
Jet-jet pejuang Israel mensasarkan rumah Komander Kanan sayap bersenjata Hamas, Briged 'Izzuddin al-Qassam, Maher Zaqout, tetapi beliau terselamat kerana tidak berada di rumah itu ketika serangan tersebut.
Rejim Yahudi itu terus memekakkan telinga terhadap desakan dunia supaya rejim zionis itu menghentikan keganasan di semenanjung itu. Sewaktu kereta kebal dan meriam Israel berkumpul di sempadan Gaza sebagai persiapan untuk melancarkan serangan darat, pesawat perang melancarkan puluhan serangan di wilayah yang padat dengan penduduk di wilayah itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengulangi gesaannya supaya keganasan itu dihentikan segera dan mendesak Israel membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang mengalami sekatan sejak Hamas menguasai wilayah itu pada Jun 2007. “Beliau sekali lagi mendesak supaya segala tindakan keganasan dihentikan segera,” kata jurucakap Ki-moon.
Operasi ‘Cast Lead’ tentera Israel yang dilancarkan sejak beberapa hari lepas telah pun membunuh 364 rakyat Palestin termasuk puluhan penduduk awam dan mencederakan lebih 1,400 lagi, menurut pasukan perubatan Gaza.
Hamas membidas masyarakat antarabangsa kerana tidak mengambil tindakan tegas untuk menghentikan keganasan Israel itu. “Israel melakukan 'holocaust', sementara dunia hanya memerhati dan tidak berbuat apa-apa untuk menghentikannya,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum.
Sementara itu, para pemimpin dunia terus mengutuk serangan Israel di Genting Gaza.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyifatkan apa yang berlaku di Genting Gaza sebagai satu ironi kerana serangan dan pembunuhan penduduk Palestin dilakukan di ambang ummat Islam menyambut ketibaan Ma'al Hijrah.
Naib Perdana Menteri China, Li Kegiang turut mengecam serangan Israel itu. Beliau berkata, China terkejut dan sangat khuatir dengan operasi ketenteraan di Genting Gaza yang telah mengorbankan banyak jiwa dan ramai yang cedera.

SYRIA GANTUNG RUNDINGAN DENGAN ISRAEL

*Gambar : Kepulan asap tebal dari sebuah Universiti Islam yang ditadbir oleh Hamas di Gaza selepas pesawat Israel melancarkan peluru berpandu ke atas universiti itu.

DAMSYIK – Syria menggantung rundingan damai tidak langsung dengan Israel berikutan serangan rejim Yahudi itu ke atas Genting Gaza. Damsyik telah mengadakan empat rundingan dengan Israel menerusi perantaraan Turki di Ankara pada tahun ini, walaupun rundingan telah pun ditangguhkan selepas peletakan jawatan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pada September lalu.
Keganasan Israel di Gaza, menutup pintu kepada sebarang proses ke arah mencapai penyelesaian politik secara aman (antara kedua-dua negara),” kata seorang pegawai kanan Syria.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai langkah-langkah lain yang akan diambil oleh Damsyik.
Rundingan tidak langsung Syria-Israel telah tertumpu kepada isu Bukit Golan, yang ditawan Israel dalam perang Asia Barat pada tahun 1967.

10 MAUT DALAM SERANGAN TERBARU ISRAEL

BANDAR GAZA - 10 orang terbunuh dan 40 lagi cedera apabila pesawat perang Israel menggugurkan sekurang-kurangnya 16 buah bom yang memusnahkan lima pejabat kerajaan Hamas di sebuah kompleks di Genting Gaza.
Serangan itu turut mencetuskan kebakaran besar dan menyebabkan serpihan berterbangan sejauh beratus-ratus meter.
Keganasan Israel setakat ini telah menyebabkan 364 rakyat Palestin termasuk 62 penduduk awam terbunuh, manakala lebih 1,400 lagi cedera.

Saturday, December 27, 2008

LEBIH 200 PENDUDUK GAZA TERBUNUH DALAM SERANGAN UDARA ISRAEL

*Gambar : Orang ramai berhimpun di luar pejabat Hamas yang musnah setelah beberapa kawasan di Rafah, Gaza dibedil oleh pesawat pejuang milik Israel.

BANDAR GAZA - Lebih dari 200 penduduk Gaza terbunuh apabila tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas wilayah Palestin. Serangan membabitkan kawasan yang padat dengan penduduk itu turut mengakibatkan lebih dari 400 orang cedera dan ia dilakukan sewaktu ramai pelajar dalam perjalanan balik selepas waktu sekolah.
Para petugas perubatan menyatakan serangan udara itu mencetuskan panik setelah penduduk melihat asap hitam berkepul-kepul ke udara.
Satu bedilan yang mengenai pejabat Hamas menyebabkan berpuluh pegawai keselamatan mati bergelimpangan. Ia menyebabkan para pemimpin Hamas berikrar melancarkan serangan balas terhadap negara Yahudi itu. Israel dalam reaksi segera turut mengarahkan rakyatnya yang menduduki kawasan kediaman di sempadan Gaza supaya berjaga-jaga.
Mesir membuka pintu sempadan ke Gaza bagi membolehkan perkhidmatan kecemasan dihantar termasuk 20 unit ambulans.
Para pegawai Hamas berkata, semua kawasan keselamatan musnah manakala sebuah stesen radio tentera Israel menyatakan serangan dilancarkan terhadap 10 kawasan. Pasukan tentera Israel mengesahkan serangan itu tetapi tidak mendedahkan butir-butir terperinci.
"Hamas akan terus mempertahankan diri sehingga ke titisan darah terakhir," kata jurucakapnya, Fawzi Barhoum.
Stesen televisyen menunjukkan beberapa hospital di Gaza sesak dengan orang ramai yang menghantar mangsa dengan menggunakan kereta, van dan ambulans.
"Kami merawat pesakit di atas lantai atau di laluan pejalan kaki kerana tidak cukup ruang. Kami tidak tahu identiti mereka tetapi apa yang penting ialah untuk memberikan rawatan segera," kata seorang doktor.
Sementara itu di Tebing Barat, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan mengutuk tindakan ganas Israel itu.
Israel berundur dari Gaza pada tahun 2005 setelah menakluk kawasan itu selama 38 tahun tetapi pengunduran itu disusuli oleh tindakan kejam rejim Zionis.
Palestin pula kini terpecah dua dengan Hamas menguasai Gaza setelah berjaya mengusir kerajaan Fatah pimpinan Mahmoud yang berfahaman sekular pada Julai 2007.

AMERIKA SERAH SEMULA ISTANA SADDAM

BAGHDAD : Amerika Syarikat akan menyerahkan semula bekas kediaman rasmi Presiden Saddam Hussein kepada kerajaan Iraq pada 31 Disember yang akan datang selepas mendudukinya sejak 2003 apabila melancarkan kempen ketenteraan. "Amerika sudah ada kedutaan baru dan kami sedang membuat persediaan bagi menyerahkan semula istana itu kepada kerajaan Iraq," kata jurucakap kedutaan, Susan Ziadeh.
Istana yang begitu luas itu, yang ditempatkan di Zon Hijau yang juga menjadi lokasi beberapa kedutaan negara Barat lain, dibina pada awal 1950an oleh raja Iraq yang terakhir, Faisal II.
Ia diperbesarkan pada tahun 1990an oleh Saddam, yang menjadikan istana itu sebagai kediaman rasminya. Selepas kejatuhan Saddam, istana itu pada mulanya digunakan sebagai ibu pejabat Pihak Berkuasa Tentera Bersekutu-Amerika. Apabila badan berkenaan dibubarkan pada Jun 2004, bangunan itu menjadi kedutaan Amerika yang menempatkan lebih 1,000 kakitangan. Sebuah kompleks kedutaan yang baru juga kini sedang dalam proses pembinaan beberapa ratus meter dari istana berkenaan. Presiden Iraq, Jalal Talabani dijangka akan mula menggunakan istana berkenaan selepas pengunduran tentera Amerika.

Thursday, December 25, 2008

SEMPENA HARI KRISMAS : HJ MOHAMAD SABU HARAP SEMUA PIHAK SALING HORMAT MENGHORMATI

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut-penganut agama Kristian di negara ini dan di seluruh dunia. Beliau berharap penganut semua agama dapat hidup dalam suasana saling hormat-menghormati kepercayaan agama masing-masing.
"Sudah sampai masanya kita hidup dengan pemikiran yang lebih tenang dan matang. Zaman menyakiti hati pihak lain dengan mempersoal, memprotes, mencerca, mempersenda dan menghina kepercayaan orang lain sudah berlalu. Jika kita melakukan demikian, orang lain juga akan turut mempersoal, memprotes, mencerca, mempersenda dan menghina kepercayaan kita," katanya."
Menurutnya, ummat Islam sendiri diajar oleh Allah (swt) supaya tidak berbuat demikian dalam firmanNya yang bermaksud, "Janganlah kamu mencaci maki orang-orang yang menyeru kepada selain daripada Allah sehingga mereka memaki Allah secara aniaya tanpa pengetahuan."
Beliau juga menceritakan bagaimana pada Hari Krismas, pengasas Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini (qs) telah menghantar perutusan kepada para penganut agama Kristian melalui siaran agensi-agensi berita.
"Para penyokong yang mengiringi beliau ketika dalam buangan di Neauphle-le-Chateau, Perancis menceritakan, mereka juga diminta oleh Imam Khomeini supaya membahagi-bahagikan hadiah kepada para penduduk di situ pada Hari Krismas. Mereka menghadiahkan pelbagai manisan seperti ghaz, ajil dan syireeni yang disertakan kuntuman bunga kepada para penduduk di situ," katanya.
"Ada di antara para wanita Kristian tempatan yang merasa begitu terharu dengan hadiah sempena Hari Krismas dari Imam Khomeini itu sehingga menitiskan air mata," katanya lagi.

AHMADINEJAD UCAPKAN SELAMAT SEMPENA HARI KELAHIRAN NABI ISA AL-MASIH (as)

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan selamat sempena hari kelahiran Nabi Isa al-Masih (as) dan tahun baru Masehi kepada pemimpin Katolik dunia serta para pemimpin negara-negara Kristian.
Dalam ucapan yang disampaikannya kepada para pemimpin negara-negara Kristian dan Pope Benedict ke-16, beliau menyifatkan Nabi Isa (as) sebagai pembawa berita gembira yang berupa perdamaian, kebebasan dan keadilan.
Sambil menyentuh pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh ummat manusia di seluruh dunia ketika ini , beliau menegaskan bahawa kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa dan ajaran para Nabi adalah penawar sebenar bagi penyakit yang menimpa ummat manusia.
Beliau turut berharap sempena tahun baru yang akan datang, prinsip keadilan dan asas persamaan manusia dapat menjadi pemangkin serta pendorong ke arah peningkatan prinsip-prinsip akhlak dan moral. Melalui pesanan khusus yang ditujukan kepada Pope Benedict ke-16, beliau menyeru ke arah perpaduan ummat beragama dan persiapan untuk menyambut kedatangan 'Penyelamat Dunia'
.

AHMADINEJAD KUNJUNGI AHLI KELUARGA ASY-SYAHID IMAD MUGHNIYYAH

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan perjuangan suci asy-syahid Imad Mughniyyah, Komandan Tertinggi Hizbullah Lebanon telah meruntuhkan semangat rejim zionis Israel. Beliau menegaskan demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga asy-syahid Imad baru-baru ini.
Menurut Ahmadinejad, "Kini terdapat ribuan Imad Mughniyyah yang bersedia untuk melanjutkan perjuangan menentang zionis Israel sehingga mencapai kemenangan."
Tegasnya, "Para syuhada akan sentiasa hidup, namun para musuh Allah sebenarnya telah mati dan memperoleh siksaanNya."
Katanya lagi,"Darah Imad Mughniyah tidak hanya mengalir dalam diri setiap pejuang Islam namun turut mengalir dalam setiap tubuh ummat Islam di seluruh dunia."
Tambahnya,"Rejim Israel akan segera mengalami kehancuran dan keluarga para syuhada merupakan kebanggaan dan tauladan bagi semua ummat Islam dan para pencinta keadilan." Sementara itu, wakil anggota keluarga Imad Mughniyyah turut menegaskan bahawa kemenangan akan kekal sekiranya diiringi dengan perjuangan dan keberanian. Keluarga asy-syahid Imad Mughniyah juga menyampaikan ucapan penghargaan kepada Republik Islam Iran di atas sokongan kuat terhadap golongan yang tertindas di seluruh dunia khususnya rakyat Palestin.

PM MALAYSIA KEMBALI DARI LAWATAN KE IRAN

PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pulang ke tanah air selepas melakukan lawatan rasmi empat hari ke Iran. Pesawat yang membawa Abdullah, yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang. Lawatan Abdullah ke negara Republik Islam itu bertujuan untuk memupuk hubungan dua hala di samping meninjau peluang mempertingkat usaha sama dalam sektor swasta kedua-dua negara.
Lawatan ke Iran ini merupakan yang kedua bagi Abdullah selaku Perdana Menteri. Lawatan pertama dilakukan pada tahun 2005. Semasa lawatan itu, Abdullah telah mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad di mana persetujuan dicapai agar kedua-dua negara bekerjasama dalam bidang penyelidikan perubatan dengan tujuan mengeluarkan ubat-ubatan herba bermutu tinggi. Tiga perjanjian juga dimeterai antara Malaysia dan Iran, salah satu daripadanya membolehkan model Proton Gen.2 dipasang di Iran mulai April 2009.
Kuala Lumpur juga mencadangkan kepada Tehran agar mempertingkat peraturan kredit minyak sawitnya bagi membolehkan negara itu mengimport lebih banyak bahan tersebut dari Malaysia.

HAMAS LANCAR ROKET KE ISRAEL

GAZA CITY - Hamas melancarkan serangan roket ke atas Israel selepas tentera negara Yahudi itu membunuh tiga orang pejuang pergerakan itu, sekali gus meningkatkan ketegangan setelah keadaan lengang selama beberapa hari.
Sayap tentera di bawah Pergerakan Hamas yang memerintah Gaza dalam kenyataannya menjelaskan bahawa lebih 20 tembakan mortar telah dilancarkan ke atas tiga kawasan Israel.
Ia bagi 'membalas dendam' ke atas kematian tiga orang pejuang Briged 'Ezzuddin al-Qassam di tangan askar Israel. Pihak tentera Israel mendakwa tiga pejuang tersebut sedang memasang bom berhampiran pagar sempadan.
Kumpulan Jihad Islam juga menyatakan bahawa pergerakan itu telah melancarkan tujuh serangan roket ke atas Israel. Serangan itu menyebabkan Israel terus menutup pintu sempadan, padahal sebelum ini ia menyatakan pintu sempadan akan dibuka bagi membenarkan penghantaran bantuan.

Tuesday, December 23, 2008

ISRAEL UGUT BUNUH PEMIMPIN HAMAS

BAITULMAQDIS : Israel sudah merancang untuk membunuh pemimpin kanan Hamas di Semenanjung Gaza walaupun pergerakan itu mengurangkan serangan roket ke wilayah Yahudi selain menawarkan gencatan senjata. Negara Yahudi itu juga melancarkan kempen diplomatik di arena antarabangsa dengan mengarahkan kedutaannya memberi penjelasan mengapa Israel perlu bertindak terhadap Hamas khususnya serangan roket pergerakan itu ke selatan wilayah Yahudi dekat Gaza.
Dua lagi roket dan tiga serangan mortar mengenai wilayah Israel baru-baru ini. Mesir memberi amaran, Israel akan mula membunuh pemimpin Hamas jika serangan itu berterusan. Pegawai kanan Hamas di Gaza memberitahu akhbar The Jerusalem Post bahawa Mesir sudah memaklumkan perkara itu kepada Hamas. Katanya, ketua perisikan negara itu, Jeneral Omar Suleiman memberi amaran itu kepada pemimpin Hamas di sini dan Damsyik serta menggesa mereka berhenti melancarkan roket ke selatan Israel supaya negara Yahudi itu tidak melancarkan tindakan ketenteraan besar-besaran.
"Pegawai Mesir memberitahu kami Israel merancang untuk membunuh beberapa pemimpin Hamas. Mereka menasihat kami melakukan sesuatu bagi menenangkan keadaan sebelum terlambat," kata pegawai itu. Antara pemimpin Hamas yang dibunuh Israel termasuk pengasasnya, Sheikh Ahmad Yassin dan Aziz al-Rantissi. Hamas kini dipimpin oleh Ismail Haniyeh. Gencatan senjata yang ditawarkan oleh Hamas bermula pada 20 Disember yang lalu dan pemimpin Hamas sedia melanjutkannya. Ini diakui oleh pemimpin kanan Hamas, Mahmoud Zahar tetapi mensyaratkannya kepada persetujuan Israel untuk akur kepada perjanjian gencatan Jun 2008 yang lalu.
Zahar memberitahu akhbar Mesir, al-Ahram, Hamas akan melakukan penilaian semasa mengenai gencatan senjata 24 jam. "Jika kami nampak gencatan senjata itu memberi hasil baik, ia berkemungkinan dilanjutkan," katanya. Presiden Mesir, Hosni Mubarak menjemput Menteri Luar Israel, Tzipi Livni ke Kaherah bagi rundingan mengenai gencatan senjata baru, kata pejabat Livni dalam satu kenyataan. Pegawai di pejabat menteri Israel itu berkata, Livni akan memberitahu Mubarak bahawa Israel bersedia menimbang tawaran gencatan senjata itu.

"USAH KAUT UNTUNG INSIDEN BALING KASUT" - ABANG MUNTAZHAR AZ-ZAIDI

BAGHDAD : Abang wartawan Iraq yang melemparkan kasutnya ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W Bush di Baghdad baru-baru ini mengecam semua pihak yang mengeksploitasi kejadian itu untuk keuntungan komersial. "Mereka cuba mengeksploitasi apa yang adik saya telah lakukan," kata Durgham az-Zaidi mengenai tindakan Muntazhar selepas dimaklumkan bahawa sebuah syarikat Turki mendakwa ia mengeluarkan kasut yang dilemparkan itu.
"Orang Syria mendakwa kasut itu dibuat di Syria dan orang Turki pula berkata mereka mengeluarkannya. Ada juga berkata Muntazhar membelinya di Mesir. Tetapi, apa yang saya tahu, dia membelinya di Baghdad dan kasut itu dibuat di Iraq," katanya.
Serkan Turk, ketua jualan di Baydan Shoes di Istanbul, berkata syarikatnya mengeluarkan kasut itu dan terpaksa menambahkan kakitangan bagi memenuhi permintaan bagi 'model 271', kasut yang dilemparkan kepada Bush. "Sejak hari kejadian hingga kini, kami menerima tempahan 370,000 pasang," kata Serkan.
Selalunya syarikat itu menjual hanya 15,000 pasang model berkenaan dalam tempoh setahun, tambahnya. Muntazhar, 29, dikenali di seluruh dunia selepas beliau melemparkan kasut kepada Bush pada satu sidang akhbar di Baghdad yang turut dihadiri Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki. "Beliau akan dibicarakan pada 31 Disember ini atas tuduhan 'mengancam ketua negara asing' yang sedang dalam lawatan rasmi," kata Uday az-Zaidi.

MALAYSIA DAN IRAN KONGSI KEPAKARAN

*Gambar : Abdullah Ahmad Badawi tertarik dengan simulator pemanduan yang dihasilkan oleh Iran ketika melawat pameran penyelidikan dan teknologi perbandaran di Kementerian Sains di Teheran.

TEHERAN – Malaysia dan Iran bersetuju untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi menangani kesan lebih buruk yang mungkin timbul ekoran krisis kewangan dan kegawatan ekonomi dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, dunia pada masa ini menghadapi tiga krisis besar secara serentak iaitu ekonomi, kekurangan makanan serta perubahan cuaca dan jika tidak ditangani dengan baik boleh membawa kesan yang sangat buruk.
Menurutnya,"Banyak negara yang memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi masing-masing, tetapi ada tiga langkah penting yang perlu diberi perhatian."

NIK AZIZ PERTAHAN WARTAWAN IRAQ BALING KASUT KE ARAH BUSH

KOTA BHARU - Keberanian wartawan Iraq, Muntazhar az-Zaidi membaling kasut ke arah George W. Bush turut dipertahankan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Saya puji wartawan yang lempar kasut itu kerana telah menggunakan ruang yang ada untuk menentang perbuatan mungkar. Hak bagi mencegah mungkar boleh dilakukan menggunakan tangan, lidah, hati atau kasut seperti dilakukan oleh wartawan di Iraq itu. Bagi mereka yang pandai melukis boleh guna kartun dan bagi mereka yang tiada kaedah lain bolehlah guna kasut," katanya selepas seminar anjuran Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd di Dewan Teratai.
Baru-baru ini, seorang wartawan penyiaran Iraq membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat pada satu sidang media ketika lawatan perpisahannya ke Iraq pada 14 Disember lalu.
Ekoran insiden itu wartawan terbabit ditahan oleh pihak berkuasa Iraq. Bagaimanapun tindakan beraninya mendapat sokongan pelbagai pihak di seluruh dunia.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tindakan membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat itu merupakan tanda penentangan terhadap kemungkaran dan penganiayaan yang dilakukannya terhadap masyarakat dunia. "Langkah yang diambil wartawan terbabit adalah jelas mewakili masyarakat Iraq yang telah ditindas oleh penjajah Amerika Syarikat dan ia merupakan satu tindakan yang bijak," katanya.

Monday, December 22, 2008

WARTAWAN BALING KASUT KE ARAH BUSH DILAPOR CEDERA DIPUKUL

*Gambar : Sekumpulan penduduk Palestin memegang kasut dan gambar Bush dalam satu tunjuk perasaan menuntut Muntazhar dibebaskan di Genting Gaza.

BAGHDAD - Wartawan televisyen Iraq, Muntazhar az-Zaidi yang melemparkan kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush, mengalami patah tangan dan tulang rusuk serta luka di mata selepas dipukul oleh sekumpulan ejen keselamatan Iraq.
Abang kepada wartawan itu, Durgham Zaidi berkata, dia tidak pasti sama ada adiknya, mengalami kecederaan tersebut ketika dikerumuni sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan atau ketika berada dalam tahanan.
Seorang peguam di Iraq berkata, Muntazhar mungkin dihukum denda dan penjara sehingga dua tahun sekiranya didapati bersalah menghina seorang ketua negara.
Muntazhar boleh didakwa atas tuduhan menghina seorang pemimpin asing serta Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki yang ketika itu berdiri di sebelah Bush semasa insiden itu berlaku, katanya.
Beliau turut memaklumkan, Muntazhar kini diserahkan kepada pengawal keselamatan Perdana Menteri Iraq untuk disoal siasat dengan lebih lanjut oleh agensi tentera yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di ibu negara ini.
"Dia kini ditahan di Zon Hijau yang menempatkan kedutaan Amerika Syarikat dan beberapa pejabat kerajaan oleh pasukan keselamatan di bawah perintah Penasihat Keselamatan Negara Iraq, Muaffaq Al-Ruba’ie," katanya.
*Gambar : Para penunjuk perasaan menjulang kasut semasa mengadakan bantahan terhadap lawatan Bush di bandar Sadr di Baghdad.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk Iraq membanjiri jalan raya memprotes penahanan Muntazhar yang kini dianggap sebagai ‘hero’ oleh penduduk Iraq dan dunia Arab serta mendesak beliau dibebaskan segera selepas beliau melempar sepasang kasutnya ke arah Bush ketika Presiden Amerika itu dan Nuri mengadakan sidang akhbar bersama sempena lawatan perpisahan Bush ke Iraq.
Insiden itu telah menjadi perbualan hangat di kedai-kedai kopi, pejabat dan sekolah serta seluruh dunia, terutama di dunia Arab.
Sebuah badan kebajikan yang dikendalikan oleh anak perempuan pemimpin Libya, Mu’ammar Gaddafi turut menganugerahkan pingat keberanian kepada Muntazhar sambil menggesa kerajaan Iraq supaya membebaskannya segera.
Seorang bekas peguam Saddam Hussein, Khalid ad-Dulaimi berkata, beliau akan membentuk satu pasukan untuk membela Muntazhar. Menurutnya, kira-kira 200 orang peguam dari Iraq dan Amerika Syarikat sudah menyuarakan kesediaan untuk membela wartawan itu.

MUNTAZHAR AZ-ZAIDI MAHU BALING KASUT LAGI

*Gambar : Beberapa anggota keluarga duduk di rumah Muntazhar di Baghdad.

BAGHDAD - Seorang wartawan Iraq, Muntazhar az-Zaidi yang membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush baru-baru ini mahu melakukannya lagi. Abang Muntazhar, Uday mendakwa adiknya itu dipaksa menulis sepucuk surat bagi memohon maaf selepas didera di dalam penjara.
Muntazhar, 29, dilabel sebagai hero dunia Arab selepas beliau membaling sepasang kasut ke arah Bush sebelum ditangkap dalam satu sidang media di Baghdad pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, kasut itu gagal mengenai Bush yang ketika itu berdiri di sisi Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki.
Seorang jurucakap mahkamah berkata, perbicaraan Muntazhar berhubung tuduhan menyerang seorang pemimpin asing akan bermula pada 31 Disember ini.
Pejabat Perdana Menteri mendakwa Muntazhar menulis sepucuk surat bagi memohon maaf dan merayu Nuri supaya membebaskannya. Bagaimanapun, Uday mendakwa surat itu ditulis tanpa kerelaan Muntazhar yang kini ditahan di sebuah penjara di Baghdad. "Muntazhar memberitahu saya bahawa dia tidak menyesal dengan apa yang dilakukannya dan akan melakukan perkara itu lagi," katanya.
Uday memberitahu bahawa dia melawat Muntazer di penjara dan mendapati adiknya itu kehilangan sebatang gigi serta terdapat kesan terbakar di telinga akibat dicucuh api rokok. Menurutnya, Muntazhar juga memberitahu bahawa dia disimbah dengan air sejuk dalam keadaan bogel oleh beberapa pegawai penjara.

MALAYSIA PELAWA PELABUR IRAN DI KORIDOR PEMBANGUNAN

TEHRAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempelawa Iran melabur di zon ekonomi khusus yang sedang dibangunkan di beberapa wilayah di Malaysia bagi meningkatkan pertumbuhan negara Asia Tenggara itu. Perkara itu disuarakan pada mesyuarat perwakilan bersama Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di sini sempena lawatan empat hari Abdullah ke republik Islam itu. Beliau juga berkata, bank Malaysia dan Iran wajar meneroka potensi dan meningkatkan kerjasama dalam bidang perbankan dan kewangan, terutama perbankan Islam dan kewangan.
Abdullah berkata tahap pelaburan antara Malaysia dan Iran sudah meningkat sejak beberapa tahun lalu, dengan sektor minyak dan gas menjadi tumpuan. “Malaysia menyambut baik pelaburan dari Iran dalam sektor lain, terutama di koridor pembangunan baru yang dibangunkan di beberapa wilayah di Malaysia,” katanya yang melakukan lawatan rasmi keduanya ke Iran, semasa pertemuan yang berlangsung di Pejabat Presiden. Sebelum itu, Perdana Menteri diberikan sambutan permaidani merah oleh Ahmadinejad.
Abdullah turut memeriksa kawalan kehormatan diikuti lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan. Antara koridor pembangunan yang dibangunkan ialah Iskandar Malaysia di selatan Johor yang berkeluasan tiga kali ganda Singapura. Abdullah berkata Malaysia dan Iran, sebagai negara membangun utama, wajar menjalin usahasama bagi mengukuhkan peranan Pertubuhan Persidangan Islam, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan G77 dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa lain. Mengenai perdagangan, Abdullah menggesa Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Iran perlu memainkan peranan penting, bukan sahaja dalam meningkatkan jumlah perdagangan, malah mengenal pasti produk-produk baru untuk pertukaran barangan.
Eksport Malaysia ke Iran kini membabitkan komoditi utama seperti minyak sawit dan getah asli serta peralatan pengangkutan. Kira-kira 83 % import Malaysia dari Iran melibatkan petroleum mentah dan produk petroleum. “Dewan Perniagaan kedua-dua negara mesti lebih aktif. Sektor swasta kita secara bersendirian perlu mengambil bahagian untuk meneroka bidang bagi memperluaskan hubungan perdagangan,” katanya. Pada tahun 2007, perdagangan dua hala bernilai USD1.042 juta berbanding USD1.022 pada tahun 2006. “Malah, Iran kini ialah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah,” katanya. Mengulas mengenai kerjasama ekonomi, Abdullah berkata beliau menyedari mengenai minat bank utama Iran, Mellat Bank, untuk membuka cawangan luar pesisir di Labuan. “Apabila projek ini menjadi kenyataan, ia boleh menyediakan sokongan kepada pembangunan pelbagai aktiviti ekonomi antara Iran dan Malaysia,” katanya.

PM MALAYSIA TIBA DI TEHRAN UNTUK LAWATAN RASMI 4 HARI KE IRAN

TEHRAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad di Pejabat Presiden di sini. Pertemuan itu antara tumpuan lawatannya selama empat hari ke republik itu. Pemimpin Malaysia itu, yang ditemani isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah, tiba di lapangan terbang Tehran dan disambut oleh Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki.
Lawatan rasmi kedua Abdullah ke Iran dilakukan sebelum peralihan kuasa di Malaysia pada Mac tahun 2009 depan. Beliau diiringi oleh beberapa Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, tokoh korporat dan para pegawai tinggi kerajaan. Mereka turut disertai Duta Malaysia ke Iran, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin. Abdullah melakukan lawatan rasmi pertama ke Iran sebagai Perdana Menteri pada tahun 2005 tetapi sering melakukan lawatan ke negara berkenaan sebelum itu sebagai Menteri Luar Malaysia dan kemudian Timbalan Perdana Menteri.
Pemerhati berkata perbincangan Abdullah-Ahmadinejad akan lebih mendorong perkembangan dalam hubungan antara Malaysia dan Iran, yang ketika ini sangat mesra, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka menyaksikan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian, seperti dalam hal memerangi pengedaran dadah, kerjasama sains dan teknologi, program pemasangan kereta Gen-2 Proton di Iran, selain yang berkaitan sektor minyak dan gas.
Abdullah juga dijadual melawat Perbandaran Penyelidikan dan Teknologi. Sebelum itu, Abdullah dan Jeanne telah menghadiri jamuan malam anjuran Syed Munshe di kediaman rasmi duta.

SERANGAN DI GAZA, SEORANG PEJUANG PALESTIN TERBUNUH

*Gambar : Pejuang Palestin daripada kumpulan 'Jihad Islam' melancarkan serangan menggunakan roket buatan sendiri ke arah kawasan Israel dari luar bandar Gaza.
GAZA - Seorang pejuang Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel, korban pertama di Genting Gaza sejak pergerakan Hamas mengisytiharkan berakhirnya gencatan senjata selama enam bulan dengan rejim Yahudi itu.
Pejuang Palestin melancarkan 10 roket dan sekurang-kurangnya 23 peluru mortar dari Gaza ke Israel, menyebabkan beberapa kerosakan harta benda tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut tentera Israel.
Satu serangan udara Israel ke atas pasukan pelancar roket itu di utara Gaza menyebabkan seorang pejuang Palestin terkorban, kata pasukan perubatan Palestin. Sayap bersenjata pergerakan Fatah, Briged Syahid al-Aqsa, mengenal pasti lelaki yang terbunuh itu sebagai salah seorang pejuangnya.
Hamas pula mengaku pasukannya bertanggungjawab melepaskan tembakan mortar itu.
Sementara itu, sebuah bot yang membawa delegasi Qatar, aktivis Lebanon dan wartawan dari Israel dan Lebanon memasuki pelabuhan kecil di bandar ini, tanpa menghiraukan sekatan yang dikenakan oleh rejim Yahudi. Bot tersebut adalah yang kelima melanggar sekatan itu pada tahun ini. Dua rakyat Qatar dalam bot itu mewakili Lembaga Qatar Bagi Kegiatan Kebajikan yang dibiayai oleh pihak kerajaan.
"Kami berada di sini sebagai wakil kerajaan dan rakyat Qatar. Kami akan meninjau keperluan saudara kami di Gaza dan mencari jalan terbaik untuk menyalurkan bantuan," kata anggota delegasi, 'Aed al-Kahtani.
Qatar menjalinkan hubungan baik dengan Israel dan Hamas.
Hamas telah menggesa semua negara Arab mencabar Israel dengan menghantar bot ke Gaza. "Kami berharap ketibaan bot itu menandakan bermulanya langkah negara-negara Arab untuk melanggar sekatan Israel," kata ketua pentadbiran Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh.

Saturday, December 20, 2008

SEMENANJUNG GAZA MASIH TEGANG

*Gambar : Pejuang Hamas mengadakan rondaan di Gaza selepas gencatan senjata tamat.

BANDAR GAZA : Keadaan di Gaza dan sekitarnya masih tegang selepas kumpulan Hamas mengisytiharkan penamatan gencatan senjata dengan Israel dan memberi amaran akan bertindak balas kepada sebarang serangan oleh negara Yahudi itu. Sejurus selepas sayap bersenjata Hamas mengumumkan dengan rasmi tempoh gencatan senjata selama enam bulan berakhir, sebuah kumpulan kecil, Jihad Islam melancarkan tiga tembakan roket, tetapi tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Briged Ezzedine al-Qassam berkata : "Gencatan senjata sudah berakhir dan tiada pembaharuan lagi kerana musuh Zionis tidak menghormati syarat-syaratnya." Kedua-dua Hamas dan Israel berkata mereka akan bertindak balas jika diserang, tapi tiada sesiapa pun berkata mereka akan menyerang pada masa ini. "Kami memberi amaran kepada musuh Zionis, semua bentuk serangan terhadap Semenanjung Gaza atau apa juga perbuatan jenayah lain boleh mencetuskan konfrontasi lebih besar dan kami akan melakukan serangan balas dengan lebih ganas lagi," kata kenyataan dalam laman web Briged Ezzedine al-Qassam.
Media Israel turut melaporkan langkah berjaga-jaga yang diambil pasukan keselamatan dan masyarakat di sekitar Semenanjung Gaza, tetapi tidak pasti risiko keganasan yang akan berlaku. "Hamas akan terus menimbulkan tanda tanya," kata akhbar Yediot Aharonot. Beberapa akhbar lain menyatakan pertahanan Israel tidak cenderung bertempur ketika ini. Israel akan mengadakan pilihan raya umum pada 10 Februari 2009 depan selepas Perdana Menterinya, Ehud Olmert yang terbabit dengan skandal meletak jawatan September 2008 lalu.

Wednesday, December 17, 2008

HARI INI DALAM SEJARAH : GEORGE W.BUSH DIBALING KASUT OLEH SEORANG PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT DI IRAQ

*Gambar : Wira ummat Islam dan pengikut mazhab Ahlul Bait, Muntazhar az-Zaidi.

*Gambar : DIAIBKAN... Muntazhar az-Zaidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan "ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq." Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostrum ketika Muntazhar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri al-Maliki yang tergamam.

BAGHDAD - Seorang wartawan televisyen ‘al-Baghdadia’, sebuah stesen milik Iraq yang berpangkalan di Kaherah, Muntazhar az-Zaidi ditahan selepas dia melemparkan dua kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush dalam satu sidang akhbar di Baghdad yang dianjurkan sempena lawatan perpisahan beliau ke Iraq.
Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara tersebut terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.
Wartawan berkenaan bangun sewaktu Bush sedang mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu melempar kasut pertamanya.


Bush yang mendengar jeritan itu mengelak sambil menundukkan kepala di podium dan kasut pertama hanya mengenai bendera Amerika Syarikat dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin itu.

*Gambar : Bush mula bersedia untuk tunduk ketika kasut dilemparkan ke arahnya.

*Gambar : Bush tunduk di sisi Nouri (kanan) bagi mengelak kasut dilemparkan ke arahnya.

Ketika Bush yang terkejut dengan insiden tersebut mula kembali tenang, wartawan itu melemparkan satu lagi kasut bersaiz '10' sambil menjerit: “Ini pula salam perpisahan daripada balu-balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.

Bush sekali lagi mengelak menyebabkan kasut itu hampir mengenai bahagian kanan kepalanya sambil Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki cuba melindungi Presiden Amerika Syarikat tersebut dengan tangan kanannya.

Kasut itu hanya sekadar mengenai dinding di belakang kedua-dua pemimpin. Anggota-anggota perkhidmatan rahsia dan ejen keselamatan Iraq mengerumuni wartawan itu dan segera menjatuhkannya. Mereka bergelut dengannya lalu mengheretnya keluar dari bilik sidang akhbar sambil Muntazhar dilihat mengerang serta menjerit. Tompokan darah wartawan itu terdapat di karpet di bilik sidang akhbar.

*Gambar: Anggota-anggota keselamatan mengerumuni Muntazhar selepas dia melemparkan kasutnya ke arah Bush.

Melemparkan kasut ke arah seseorang merupakan satu budaya Arab bagi menunjukkan penghinaan. Ketika patung bekas Presiden Iraq, al-Mal'un Saddam Hussein ditumbangkan di Baghdad pada April 2003, sekumpulan orang ramai memukul wajah patung itu dengan kasut mereka.
Tindakan wartawan itu mendapat pujian melangit daripada sebuah akhbar di Timur Tengah manakala ribuan penduduk Iraq berhimpun di jalan raya bagi menuntut pembebasannya.
"Melempar kasut ke arah Bush merupakan ciuman perpisahan yang terbaik. Ia menyuarakan bagaimana penduduk Arab membenci Bush," kata editor akhbar 'al-Gahd Arabic' di Jordan, Musa Barhoumeh.
Tindakan wartawan itu juga dianggap sebagai 'hero' oleh akhbar-akhbar di negara Arab.
Wartawan itu ditahan untuk disoal oleh pihak berkuasa Iraq bagi mengetahui sama ada terdapat mana-mana pihak yang mengupahnya untuk melemparkan kasut. Menurut seorang pegawai Iraq, beliau turut menjalani ujian dadah dan alkohol manakala kasut yang dilemparkan itu disimpan sebagai bahan bukti. Wartawan tersebut turut mengaku bahawa dia sudah merancang untuk melemparkan kasut itu sejak beberapa bulan lalu.
Sejurus selepas insiden itu, Bush memberikan reaksi : "Jangan bimbang mengenai insiden itu."
Sebahagian wartawan dalam bilik itu riuh rendah di mana Bush diberi penerangan bahawa mereka meminta maaf berhubung isu lempar kasut itu. "Jika anda mahukan fakta, kasut itu bersaiz '10'," gurau Bush.
Insiden lempar kasut itu turut menjadi perbualan paling hangat di kalangan para wartawan di Kabul di mana Bush turut mengadakan lawatan ke Afghanistan selepas Iraq.








KISAH SEDIH PALESTIN : PENDUDUK GAZA MAKAN RUMPUT

*Gambar : Seorang kanak-kanak melihat kamera yang sedang merakamkan bapanya memasang pelita di Khan Younis, Gaza yang bergantung pada pelita dan kayu api akibat kepungan Israel.

KAHERAH : Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang kelaparan akibat kepungan kejam pihak berkuasa Israel, semakin terdesak sehingga terpaksa makan rumput untuk terus hidup. Kesengsaraan mereka turut disahkan oleh pegawai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan ramai penduduk kelaparan.
Apa yang kami mampu lakukan ialah makan rumput. Hanya ini pilihan yang ada bagi memastikan kami sekeluarga dapat terus hidup,” kata Amra Abu, ibu lapan orang anak kepada akhbar Britain, 'The Times', sambil menuding ke arah rumput hijau yang tumbuh liar di tepi jalan raya Gaza. Setiap pagi, beliau dan anak perempuannya, Rabab, 12, mengutip rumput di sepanjang jalan raya yang didakwanya selamat dimakan. Amra, 23, turut mengemis bagi mendapatkan wang untuk membeli bahan api.
Saya sudah lupa bilakah kali terakhir dapat makan buah-buahan,” kata Rabab yang memakai pakaian lusuh dan seluar jeans koyak. Penderitaan Amra antara kisah sedih yang terus menyelubungi Semenanjung Gaza selepas Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza yang menempatkan kira-kira 1.6 juta penduduk. Sementara itu, Pengarah Agensi Tugas Bantuan PBB (UNRWA) di Gaza, John Ging mengakui keadaan penduduk yang semakin melarat. Agensi badan dunia itu turut sukar membantu penduduk Gaza.
Dua minggu lalu, buat pertama kali dalam 60 tahun, kami kehabisan makanan. Kami lazimnya menerima antara 70 hingga 80 lori makanan sehari, tetapi kini cuma 15 lori sehari. Itu pun jika sempadan dibuka,” kata Ging.