Monday, December 22, 2008

MUNTAZHAR AZ-ZAIDI MAHU BALING KASUT LAGI

*Gambar : Beberapa anggota keluarga duduk di rumah Muntazhar di Baghdad.

BAGHDAD - Seorang wartawan Iraq, Muntazhar az-Zaidi yang membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush baru-baru ini mahu melakukannya lagi. Abang Muntazhar, Uday mendakwa adiknya itu dipaksa menulis sepucuk surat bagi memohon maaf selepas didera di dalam penjara.
Muntazhar, 29, dilabel sebagai hero dunia Arab selepas beliau membaling sepasang kasut ke arah Bush sebelum ditangkap dalam satu sidang media di Baghdad pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, kasut itu gagal mengenai Bush yang ketika itu berdiri di sisi Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki.
Seorang jurucakap mahkamah berkata, perbicaraan Muntazhar berhubung tuduhan menyerang seorang pemimpin asing akan bermula pada 31 Disember ini.
Pejabat Perdana Menteri mendakwa Muntazhar menulis sepucuk surat bagi memohon maaf dan merayu Nuri supaya membebaskannya. Bagaimanapun, Uday mendakwa surat itu ditulis tanpa kerelaan Muntazhar yang kini ditahan di sebuah penjara di Baghdad. "Muntazhar memberitahu saya bahawa dia tidak menyesal dengan apa yang dilakukannya dan akan melakukan perkara itu lagi," katanya.
Uday memberitahu bahawa dia melawat Muntazer di penjara dan mendapati adiknya itu kehilangan sebatang gigi serta terdapat kesan terbakar di telinga akibat dicucuh api rokok. Menurutnya, Muntazhar juga memberitahu bahawa dia disimbah dengan air sejuk dalam keadaan bogel oleh beberapa pegawai penjara.

No comments: