Monday, December 22, 2008

PM MALAYSIA TIBA DI TEHRAN UNTUK LAWATAN RASMI 4 HARI KE IRAN

TEHRAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad di Pejabat Presiden di sini. Pertemuan itu antara tumpuan lawatannya selama empat hari ke republik itu. Pemimpin Malaysia itu, yang ditemani isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah, tiba di lapangan terbang Tehran dan disambut oleh Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki.
Lawatan rasmi kedua Abdullah ke Iran dilakukan sebelum peralihan kuasa di Malaysia pada Mac tahun 2009 depan. Beliau diiringi oleh beberapa Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, tokoh korporat dan para pegawai tinggi kerajaan. Mereka turut disertai Duta Malaysia ke Iran, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin. Abdullah melakukan lawatan rasmi pertama ke Iran sebagai Perdana Menteri pada tahun 2005 tetapi sering melakukan lawatan ke negara berkenaan sebelum itu sebagai Menteri Luar Malaysia dan kemudian Timbalan Perdana Menteri.
Pemerhati berkata perbincangan Abdullah-Ahmadinejad akan lebih mendorong perkembangan dalam hubungan antara Malaysia dan Iran, yang ketika ini sangat mesra, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka menyaksikan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian, seperti dalam hal memerangi pengedaran dadah, kerjasama sains dan teknologi, program pemasangan kereta Gen-2 Proton di Iran, selain yang berkaitan sektor minyak dan gas.
Abdullah juga dijadual melawat Perbandaran Penyelidikan dan Teknologi. Sebelum itu, Abdullah dan Jeanne telah menghadiri jamuan malam anjuran Syed Munshe di kediaman rasmi duta.

No comments: