Monday, December 29, 2008

DEMONSTRASI DI SELURUH DUNIA KUTUK ISRAEL

*Gambar : Penunjuk perasaan bertempur dengan polis semasa mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Israel di London sebagai mengutuk serangan Israel di Genting Gaza.

LONDON - Beberapa bandar utama di dunia mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap serangan udara Israel ke atas Genting Gaza, yang membunuh lebih 300 orang penduduk Palestin. Polis Britain telah menahan 10 orang apabila demonstrasi di hadapan Kedutaan Israel di London bertukar menjadi ganas. Polis anti-rusuhan juga dikerahkan selepas penunjuk perasaan mengalihkan halangan di kedutaan tersebut.
Setiausaha Luar Britain, David Miliband mendesak agar 'gencatan senjata diadakan dan pemberhentian segera semua keganasan' di Gaza. Seruan serupa turut dibuat oleh Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang telah berhubung dengan rakan sejawatannya di Israel, Tzipi Livni.
Diplomat tertinggi Itali dan Sepanyol, Franco Frattini dan Miguel Angel Moratinos turut bercakap melalui telefon dengan Livni yang mengatakan 'Israel akan cuba mengehadkan kesengsaraan penduduk Gaza'.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dalam perbualan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga menyatakan kebimbangan mengenai keganasan di rantau itu dan kedua-dua pihak perlu menghentikan serangan.
Di sekitar Eropah, polis Denmark telah menahan seorang lelaki dalam protes di Copenhagen selepas dia membaling molotov cocktail ke arah polis. Di Paris, kira-kira 200 orang berkumpul di Champs Elysees, sementara di daerah Barbes, utara Perancis, 1,300 orang menyertai protes anti-Israel.

No comments: