Tuesday, December 23, 2008

NIK AZIZ PERTAHAN WARTAWAN IRAQ BALING KASUT KE ARAH BUSH

KOTA BHARU - Keberanian wartawan Iraq, Muntazhar az-Zaidi membaling kasut ke arah George W. Bush turut dipertahankan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Saya puji wartawan yang lempar kasut itu kerana telah menggunakan ruang yang ada untuk menentang perbuatan mungkar. Hak bagi mencegah mungkar boleh dilakukan menggunakan tangan, lidah, hati atau kasut seperti dilakukan oleh wartawan di Iraq itu. Bagi mereka yang pandai melukis boleh guna kartun dan bagi mereka yang tiada kaedah lain bolehlah guna kasut," katanya selepas seminar anjuran Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd di Dewan Teratai.
Baru-baru ini, seorang wartawan penyiaran Iraq membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat pada satu sidang media ketika lawatan perpisahannya ke Iraq pada 14 Disember lalu.
Ekoran insiden itu wartawan terbabit ditahan oleh pihak berkuasa Iraq. Bagaimanapun tindakan beraninya mendapat sokongan pelbagai pihak di seluruh dunia.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tindakan membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat itu merupakan tanda penentangan terhadap kemungkaran dan penganiayaan yang dilakukannya terhadap masyarakat dunia. "Langkah yang diambil wartawan terbabit adalah jelas mewakili masyarakat Iraq yang telah ditindas oleh penjajah Amerika Syarikat dan ia merupakan satu tindakan yang bijak," katanya.

No comments: