Friday, December 5, 2008

ISRAEL IBARAT LANUN - LIBYA

NEW YORK - Libya menggelar Israel sebagai 'lanun' kerana menghalang sebuah kapal kargo negara itu daripada menghantar bekalan kemanusiaan ke Genting Gaza baru-baru ini. Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Giadallah Ettalhi memberitahu Majlis Keselamatan, mengikut undang- undang laut PBB, tindakan Israel itu adalah 'perlakuan lanun'.
Giadallah merujuk kepada insiden yang menimpa kapal 'al-Marwa' yang dipaksa berpatah balik oleh tentera laut Israel baru-baru ini ketika dalam misi menghantar lebih 3,000 tan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain ke wilayah Gaza.
Beliau turut meminta Majlis Keselamatan untuk 'mengambil langkah sewajarnya bagi membenarkan kapal tersebut berlabuh dan memunggah kargo'. Katanya, Libya bersedia pada bila-bila masa untuk membenarkan PBB atau pertubuhan lain memeriksa dan mengesahkan sama ada kapal kargo itu membawa bekalan kemanusiaan atau tidak.
Giadallah juga mendesak Majlis Keselamatan mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk tindakan Israel itu. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil terhadap draf kenyataan Libya tersebut.
Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Gabriela Shalev mempertahankan keputusan negaranya dengan menyatakan tidak ada anggota PBB yang akan membenarkan kapal negara musuh (Libya) daripada memasuki kawasan yang menjadi tapak pelancaran serangan ke atas rakyatnya.
Tambah beliau, Libya boleh menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza melalui pertubuhan bantuan antarabangsa di sana.

No comments: