Thursday, December 11, 2008

AMERIKA SYARIKAT PERLU SERIUS TANGANI PERGOLAKAN ISRAEL DAN PALESTIN

*Gambar : Seorang kanak-kanak Palestin memegang roti yang berlubang ketika menyertai bantahan kekejaman Israel di Gaza.

OSLO: Pemenang anugerah Nobel Keamanan, Martti Ahtisaari menyelar Amerika Syarikat dan negara kuasa besar dunia yang disifatkannya tidak harus berpeluk tubuh dan sekadar menjadi pemerhati di atas keganasan Israel terhadap Palestin jika mahukan kedamaian di rantau Asia Barat berkenaan. Kenyataannya itu dibuat ketika satu laporan lain di Gaza mendedahkan kesengsaraan kanak-kanak Palestin yang sekurang-kurangnya 46 peratus dari kalangan mereka mengalami masalah 'anemia' atau 'kekurangan darah' berikutan kegagalan ibu bapa memberi makanan yang mencukupi akibat sekatan tentera Israel ke atas wilayah berkenaan.
Ahtisaari yang juga bekas Presiden Finland, dalam satu wawancara dengan agensi berita Associated Press sebelum majlis penganugerahan hadiah Nobel di sini menegaskan, sebarang kegagalan menangani konflik di Asia Barat boleh menyemarakkan lagi masalah lain di rantau itu. Menurutnya, "Masyarakat antarabangsa dan negara yang berkuasa hanya sekadar memerhatikan tindakan Israel dan Palestin saling memusnahkan di antara satu sama lain. Mereka juga hanya membiarkan kedua-dua pihak berbalah itu menyukarkan lagi masa depan berbanding apa yang sudah berlaku hari ini." Ketika ditanya apa yang boleh dilakukan oleh bakal Presiden Amerika, Barack Obama, Ahtisaari berkata, "Pelan sudah pun terbentang di depan mata. Mengapa tidak dilaksanakan saja."
Sementara itu di Gaza, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Palestin mendedahkan, kesukaran itu berikutan ramai ibu bapa Palestin terpaksa menganggur kerana tidak dapat keluar bekerja disebabkan kepungan kejam yang disifatkan seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu jenayah kemanusiaan.
"Apa yang pasti, hukuman beramai-ramai yang dikenakan Israel ke atas rakyat Gaza hanya memberi kesan buruk kepada kesihatan dan perkembangan kanak-kanak di wilayah berkenaan," kata suruhanjaya bebas itu dalam laporannya.

No comments: