Thursday, December 25, 2008

SEMPENA HARI KRISMAS : HJ MOHAMAD SABU HARAP SEMUA PIHAK SALING HORMAT MENGHORMATI

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut-penganut agama Kristian di negara ini dan di seluruh dunia. Beliau berharap penganut semua agama dapat hidup dalam suasana saling hormat-menghormati kepercayaan agama masing-masing.
"Sudah sampai masanya kita hidup dengan pemikiran yang lebih tenang dan matang. Zaman menyakiti hati pihak lain dengan mempersoal, memprotes, mencerca, mempersenda dan menghina kepercayaan orang lain sudah berlalu. Jika kita melakukan demikian, orang lain juga akan turut mempersoal, memprotes, mencerca, mempersenda dan menghina kepercayaan kita," katanya."
Menurutnya, ummat Islam sendiri diajar oleh Allah (swt) supaya tidak berbuat demikian dalam firmanNya yang bermaksud, "Janganlah kamu mencaci maki orang-orang yang menyeru kepada selain daripada Allah sehingga mereka memaki Allah secara aniaya tanpa pengetahuan."
Beliau juga menceritakan bagaimana pada Hari Krismas, pengasas Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini (qs) telah menghantar perutusan kepada para penganut agama Kristian melalui siaran agensi-agensi berita.
"Para penyokong yang mengiringi beliau ketika dalam buangan di Neauphle-le-Chateau, Perancis menceritakan, mereka juga diminta oleh Imam Khomeini supaya membahagi-bahagikan hadiah kepada para penduduk di situ pada Hari Krismas. Mereka menghadiahkan pelbagai manisan seperti ghaz, ajil dan syireeni yang disertakan kuntuman bunga kepada para penduduk di situ," katanya.
"Ada di antara para wanita Kristian tempatan yang merasa begitu terharu dengan hadiah sempena Hari Krismas dari Imam Khomeini itu sehingga menitiskan air mata," katanya lagi.

1 comment:

Goji, sihat, jantan, health said...

salam bicara
langkah panjang ke sini k...
http://healthycouple2008.blogspot.com/