Monday, December 8, 2008

IRAN TIDAK GENTAR AMARAN OBAMA - HASSAN QASHQAVI

TEHRAN - Iran tidak akan menghentikan kerja-kerja berkaitan program nuklear di negaranya dan berharap Amerika Syarikat menerusi Barack Obama akan mengubah pendekatan yang digunakan sebelum ini.
Obama telah mengumumkan bahawa beliau bersedia menawarkan insentif ekonomi kepada Tehran bagi menghentikan program nuklear mereka yang dituduh Amerika Syarikat sebagai satu program 'pembangunan senjata pemusnah'. Bagaimanapun Obama turut menegaskan sekatan yang lebih ketat akan dilaksanakan jika Iran menolak cadangan tersebut.
"Jika Amerika masih berpegang kepada pandangan sebelum ini supaya program pengayaan uranium dihentikan, maka jawapan kami ialah Iran tidak sekali-kali akan menghentikan program ini. Kami tidak gentar dengan amaran terbaru itu kerana Amerika perlu mengakui hak kami dalam teknologi nuklear," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Hassan Qashqavi. Ujar beliau, polisi yang digunakan sebelum ini agak lapuk dan kurang berkesan dan Amerika perlu menukarnya kepada polisi yang lebih interaktif.
Iran yang juga negara pengeluar minyak keempat terbesar dunia tetap dengan pendirian bahawa program nuklear itu adalah sebagai langkah penguasaan teknologi nuklear bagi menjana tenaga elektrik. Menurut Iran, teknologi itu akan membolehkan mereka menjimatkan penggunaan minyak dan gas hanya untuk kegunaan eksport.
Obama turut mengumumkan bahawa Amerika bersedia untuk melakukan perbincangan secara terus dengan Iran dan memberi ruang untuk membuat pilihan yang tepat sama ada Tehran mahukan jalan yang mudah atau susah.
Namun menurut Hassan, apabila Amerika membicarakan tentang perubahan, semua orang mengharapkan perubahan polisi bagi membezakan antara Obama dan Presiden George W. Bush. "Namun kita semua perlu tunggu dan lihat tentang apakah langkah yang akan dilaksanakan oleh Obama sebaik beliau mengambil alih pemerintahan dari Bush nanti," katanya.

No comments: