Wednesday, December 31, 2008

GAZA TERUS DIBEDIL BUAT HARI KELIMA

GENTING GAZA – Bedilan Israel ke atas Gaza masuk hari kelima dengan lebih 35 serangan dilancarkan yang disasarkan ke atas pejabat kerajaan Hamas, fasiliti simpanan senjata dan terowong rahsia. Serangan hari kelima telah menyebabkan 16 lagi penduduk Palestin terkorban dan 210 yang lain cedera.
Menurut pasukan perubatan di Gaza, jumlah penduduk Palestin yang terkorban sejak Israel mula melancarkan serangan pada 27 Disember yang lalu telah meningkat kepada 390 orang termasuk 24 kanak-kanak, manakala 1,900 yang lain cedera.
Angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada mangsa yang terbunuh adalah orang awam.
Pejabat Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh dan terowong-terowong rahsia dekat sempadan Gaza-Mesir turut menjadi sasaran tentera Israel.
Namun, itu tidak menyekat Hamas bertindak balas melancarkan serangan roket ke wilayah Israel. Hamas telah melancarkan lebih 20 roket ke wilayah Israel. Para pejuang Hamas mensasarkan serangan roket ke arah bandar Beersheva di wilayah Israel yang terletak 40 kilometer dari sempadan Gaza, iaitu tembakan roket paling jauh setakat ini.
“Kami ingin mengkhabarkan kepada pemimpin musuh bahawa sekiranya kamu meneruskan serangan, roket kami akan disasarkan lebih jauh daripada sebelum ini,” kata jurucakap Briged 'Izzuddin al-Qassam, sayap bersenjata Hamas.

No comments: