Monday, December 22, 2008

WARTAWAN BALING KASUT KE ARAH BUSH DILAPOR CEDERA DIPUKUL

*Gambar : Sekumpulan penduduk Palestin memegang kasut dan gambar Bush dalam satu tunjuk perasaan menuntut Muntazhar dibebaskan di Genting Gaza.

BAGHDAD - Wartawan televisyen Iraq, Muntazhar az-Zaidi yang melemparkan kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush, mengalami patah tangan dan tulang rusuk serta luka di mata selepas dipukul oleh sekumpulan ejen keselamatan Iraq.
Abang kepada wartawan itu, Durgham Zaidi berkata, dia tidak pasti sama ada adiknya, mengalami kecederaan tersebut ketika dikerumuni sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan atau ketika berada dalam tahanan.
Seorang peguam di Iraq berkata, Muntazhar mungkin dihukum denda dan penjara sehingga dua tahun sekiranya didapati bersalah menghina seorang ketua negara.
Muntazhar boleh didakwa atas tuduhan menghina seorang pemimpin asing serta Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki yang ketika itu berdiri di sebelah Bush semasa insiden itu berlaku, katanya.
Beliau turut memaklumkan, Muntazhar kini diserahkan kepada pengawal keselamatan Perdana Menteri Iraq untuk disoal siasat dengan lebih lanjut oleh agensi tentera yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang di ibu negara ini.
"Dia kini ditahan di Zon Hijau yang menempatkan kedutaan Amerika Syarikat dan beberapa pejabat kerajaan oleh pasukan keselamatan di bawah perintah Penasihat Keselamatan Negara Iraq, Muaffaq Al-Ruba’ie," katanya.
*Gambar : Para penunjuk perasaan menjulang kasut semasa mengadakan bantahan terhadap lawatan Bush di bandar Sadr di Baghdad.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk Iraq membanjiri jalan raya memprotes penahanan Muntazhar yang kini dianggap sebagai ‘hero’ oleh penduduk Iraq dan dunia Arab serta mendesak beliau dibebaskan segera selepas beliau melempar sepasang kasutnya ke arah Bush ketika Presiden Amerika itu dan Nuri mengadakan sidang akhbar bersama sempena lawatan perpisahan Bush ke Iraq.
Insiden itu telah menjadi perbualan hangat di kedai-kedai kopi, pejabat dan sekolah serta seluruh dunia, terutama di dunia Arab.
Sebuah badan kebajikan yang dikendalikan oleh anak perempuan pemimpin Libya, Mu’ammar Gaddafi turut menganugerahkan pingat keberanian kepada Muntazhar sambil menggesa kerajaan Iraq supaya membebaskannya segera.
Seorang bekas peguam Saddam Hussein, Khalid ad-Dulaimi berkata, beliau akan membentuk satu pasukan untuk membela Muntazhar. Menurutnya, kira-kira 200 orang peguam dari Iraq dan Amerika Syarikat sudah menyuarakan kesediaan untuk membela wartawan itu.

No comments: