Friday, December 5, 2008

IRAN PASUKAN PILIHAN PADA KEJOHANAN HOKI TERTUTUP ASIA DI PERAK

"Iran merupakan pasukan yang paling kuat berbanding empat pasukan lain," demikian ulasan Setiausaha Persatuan Hoki Perak (PHP), Sallehuddin Mokhtar menjelang Kejohanan Hoki Tertutup Asia di Stadium Indera Mulia, Ipoh bermula 10 Disember 2008 ini.
Sallehuddin beranggapan Iran sebagai pasukan pilihan kerana negara itu merupakan juara bertahan pada kejohanan yang sama di Macau tahun lalu. "Empat buah negara lain yang akan mengambil bahagian ialah Malaysia, Uzbekistan, Singapura dan Thailand," jelas Sallehuddin. Namun, katanya keempat-empat negara itu juga mampu memberi kejutan kepada Iran kelak.
Menurutnya, Malaysia akan menghantar dua pasukan ke kejohanan enam sepasukan ini. Difahamkan Malaysia akan menurunkan kelab Sapura yang beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) bagi mewakili negara.
Kejohanan Tertutup Asia ini merupakan kejohanan terbesar dianjurkan oleh PHP selepas Piala Sultan Azlan Shah yang disertai oleh pasukan bertaraf dunia pada setiap tahun.

No comments: