Friday, December 5, 2008

POLIS ISRAEL USIR PENDATANG YAHUDI DI HEBRON

*Gambar : Pendatang Yahudi bertempur dengan polis Israel kerana membantah keputusan mahkamah memerintahkan mereka keluar dari kawasan penempatan Arab di Hebron.

HEBRON : Polis Israel terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan kayu belantan bagi mengusir sekumpulan pendatang haram Yahudi daripada sebuah bangunan di Hebron, Tebing Barat. Kejadian itu menyebabkan pendatang haram Yahudi mengamuk dan merusuh, termasuk melepaskan tembakan rambang di beberapa kawasan sekitar wilayah Palestin berkenaan dan mencederakan sekurang-kurangnya lapan warga Palestin. Operasi sejam oleh anggota polis dan tentera itu menyebabkan 30 orang pendatang haram Yahudi cedera ringan, kebanyakannya akibat terhidu asap gas pemedih mata.
Kumpulan pendatang yang ada di antaranya bersenjata, bertindak ganas membakar kereta dan harta benda lain berhampiran bangunan itu. Lapan warga Palestin cedera, termasuk tiga akibat ditembak. Malah salah satu kejadian menembak itu sempat dirakam oleh seorang ahli kumpulan aktivis. Keganasan oleh pendatang haram Yahudi dengan pantas turut menular ke kawasan lain di Tebing Barat yang diduduki oleh tentera Israel sehingga memaksa anggota keselamatan bergegas bagi menghalangnya.
Penduduk Palestin berkata, pendatang haram itu menghalang laluan dan melontar batu ke arah kereta mereka dan menyebabkan kerosakan.
Selepas rusuhan beberapa jam di Hebron, pada tengah malam, sekumpulan penduduk mendakwa keadaan mulai reda dan jurucakap tentera berkata tiada sebarang kejadian ganas dilaporkan berlaku di Tebing Barat. Keadaan tegang itu semakin ketara selepas keputusan sebuah Mahkamah Tinggi Israel memerintahkan sekumpulan pendatang haram Yahudi keluar daripada sebuah bangunan yang diduduki mereka sejak Mac 2007. Baru-baru ini, sekurang-kurangnya 13 orang rakyat Palestin cedera selepas lebih 1,000 orang pendatang haram Israel mengamuk dan merusuh dengan membaling batu ke arah penduduk, kediaman dan jip polis di kawasan penempatan Arab di Hebron.
Ia menyusuli beberapa tindakan biadap pendatang berkenaan sebelum ini, termasuk mencemari sebuah masjid dan tanah perkuburan Islam.

No comments: