Monday, December 8, 2008

'AIDILADHA SURAM DI GAZA

*Gambar : Seorang warga Palestin terpaksa menggunakan terowong bawah tanah yang melintasi Gaza dan Mesir dekat Rafah untuk membawa kambing menjelang sambutan 'Aidiladha selepas Israel terus menutup lintasan sempadan.

BAITULMAQDIS : Penduduk Gaza menyambut 'Aidiladha dalam keadaan memeritkan selepas anggota keselamatan Zionis Israel menaiki bot di pelabuhan Jaffa bagi menghalang ahli Parlimen Arab daripada menghantar bantuan makanan dan ubat ke wilayah itu.
"Kami bersiap sedia untuk belayar ke Gaza bagi menghantar ratusan kilogram ubat-ubatan dan barangan keperluan apabila polis maritim Israel menghalang kami mengangkat sauh. Israel membenarkan penduduk Yahudi melakukan apa saja kepada rakyat Palestin di Tebing Barat, tetapi pada masa yang sama mereka menghalang kami daripada memberi bantuan kemanusiaan di Gaza. Kami berazam untuk memberi bantuan," kata seorang anggota Parlimen Israel Arab, Ahmed Tibi.
Anggota Parlimen terbabit termasuk Taleb al-Sana dan Mohammed Barakah juga menaiki kapal berkenaan bersama aktivis keamanan dan puak kiri Yahudi. Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld, mengesahkan bahawa bot berkenaan dihalang daripada meneruskan perjalanan.
Penduduk Gaza seramai 1.5 juta orang kini semakin kehabisan bahan api dan makanan selepas Israel menutup lintasan sempadan untuk masuk ke wilayah berkenaan sejak 4 November 2008 yang lalu atas alasan pejuang Palestin telah melancarkan roket ke negara Yahudi itu.
Terbaru, Menteri Luar Israel, Tzipi Livni berkata, Tel Aviv patut melancarkan tindakan tentera, ekonomi dan politik bagi menghadapi serangan roket berkenaan yang dituduh mencabul gencatan senjata. Persetujuan gencatan senjata yang dipersetujui oleh Israel dan Hamas dalam rundingan di Mesir akan tamat pada 19 Disember 2008 akan datang dan tempoh melanjutkannya belum lagi dicapai.

No comments: