Wednesday, December 3, 2008

PERANG IRAQ : BUSH MENGAKU SILAP

WASHINGTON - Presiden George W. Bush mengakui kesilapan terbesar yang pernah dilakukan sepanjang pentadbirannya ialah menyerang Iraq berdasarkan maklumat yang salah.
Bush memberitahu Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC) di Camp David, maklumat perisikan bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran merupakan maklumat yang salah dan Baghdad terpaksa menerima kesan yang mendalam.
"Perkara paling teruk yang pernah saya lakukan sepanjang menjadi Presiden ialah menerima maklumat salah mengenai Iraq. Ramai orang yang meletakkan reputasi mereka dalam perkara ini dan menyatakan pemilikan senjata pemusnah besar-besaran sebagai alasan utama untuk menjatuhkan Saddam," kata Bush.
Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi sama ada akan tetap melancarkan perang jika Iraq tidak memiliki senjata pemusnah besar-besaran. "Itu merupakan satu soalan yang menarik namun ia telah berlalu dan saya tidak boleh berpatah balik untuk membetulkannya," kata beliau.
Bush menjelaskan, beliau tidak bersedia untuk berperang sebaik mengambil alih jawatan Presiden daripada Bill Clinton. "Saya tidak berkempen dan meminta pengundi memilih saya kerana saya boleh menangani masalah perang," katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan belum masanya untuk tentera Amerika Syarikat berundur dari Iraq. Katanya, masa yang sesuai akan tiba walaupun beliau menerima banyak pandangan yang memintanya mengundurkan tentera dari negara itu.
Bush yang akan meninggalkan White House pada 20 Januari 2009 akan datang mencatatkan rekod populariti paling rendah daripada rakyat akibat perang di Iraq itu. Namun pada bulan-bulan terakhir sebelum menamatkan tugasnya, Bush berkata beliau akan tetap membuat perkara yang perlu bagi memulihkan keadaan ekonomi.
"Apa yang menakutkan saya ialah tidak melakukan apa-apa kerana ia akan mengakibatkan kejatuhan teruk ekonomi dan kewangan,'' tegasnya.

No comments: