Tuesday, December 30, 2008

HAMAS SEDIA TANDATANGANI GENCATAN SENJATA

DAKAR - Pemimpin Hamas, Khaled Mesh'aal menyatakan kesediaannya untuk menandatangani gencatan senjata dengan Israel di Genting Gaza, yang akan melibatkan Israel menghentikan serangan dan sekatan ke atas wilayah Palestin itu.
Menurut Kementerian Luar Senegal, cadangan gencatan senjata di Gaza itu dikemukakan oleh Presiden Senegal, Abdoulaye Wade, yang juga Pengerusi Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) kepada Khaled ketika beliau menghubungi pemimpin Hamas itu melalui telefon.
"Pemimpin Hamas itu memaklumkan bahawa beliau bersedia menandatangani perjanjian itu (gencatan senjata) di tempat yang dipilih dengan persetujuan kedua-dua pihak," menurut kenyataan kementerian tersebut.
"Abdoulaye mencadangkan gencatan senjata muktamad antara Israel dengan Hamas menerusi pemeteraian satu perjanjian. Di bawah perjanjian itu, Hamas dan Israel akan mematuhi gencatan senjata dengan segera, disusuli langkah Israel menarik balik seluruh sekatan ke atas Genting Gaza," menurut kenyataan berkenaan.
Abdoulaye dalam kenyataan berasingan mengutuk serangan udara Israel ke atas Gaza sebagai 'tidak wajar sama sekali'. "Pengerusi OIC menuntut Israel menghentikan segera pengeboman dan segala serangan lain ke atas wilayah Palestin," menurut kenyataan tersebut.

No comments: