Monday, December 8, 2008

IRAN UJI PELURU BERPANDU BARU

TEHRAN - Iran menjalankan ujian peluru berpandu baru darat ke darat dari sebuah kapal perang sebagai sebahagian latihan di laluan perkapalan strategik baru-baru ini. Iran memulakan latihan perang enam hari melibatkan tentera lautnya di Laut Oman dan kawasan Teluk ketika berlaku ketegangan dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Kedua-dua sekutu rapat itu telah mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan jika perbalahan berhubung program nuklear Tehran gagal diselesaikan menerusi diplomasi. Iran pula memberi amaran akan menutup Selat Hormuz di laluan masuk ke Teluk Parsi, sekali gus menyekat kira-kira 40 peratus daripada minyak yang didagangkan di pasaran dunia.
"Peluru berpandu darat ke darat 'Nasr-2' diuji di kawasan operasi Laut Oman. Ia dilancarkan dari sebuah kapal perang dan mengenai sasarannya pada jarak 30 kilometer," lapor agensi berita rasmi, IRNA. Ujian tersebut adalah yang pertama bagi peluru berpandu jarak sederhana itu, menurut IRNA.
Amerika Syarikat yang menempatkan Armada Kelima tentera lautnya di Bahrain telah berikrar untuk memastikan laluan perkapalan terus dibuka. Pakar tentera berkata, tentera laut Iran tidak mampu menandingi teknologi ketenteraan Amerika Syarikat tetapi masih berupaya menimbulkan huru-hara di Selat Hormuz.

No comments: