Sunday, November 9, 2008

AHMADINEJAD : MENGENAL IMAM ADALAH SATU-SATUNYA JALAN PENYELAMAT UMMAT MANUSIA

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang menyambut hari kelahiran Imam Ali al-Ridha (as) di Masyhad mengatakan bahawa satu-satunya JALAN PENYELAMAT kepada ummat manusia dalam menjalani kehidupan yang bahagia adalah 'MENGENAL, MENCINTAI DAN MENGIKUTI IMAM'. Sewaktu merasmikan majlis penutup Festival Budaya dan Kesenian Imam Ridha (as) di Masyhad, beliau menegaskan, "Imam sebagai manusia sempurna membimbing manusia biasa dari serba kekurangan dan tidak mempunyai apa-apa kepada memiliki segala sesuatu dan dari tanah menjadi manusia yang sempurna. Apabila seseorang mampu mencapai tahap 'insan kamil' (manusia sempurna), nescaya ia pasti akan mengenal hakikat segala sesuatu."
Menurutnya lagi, "Kecintaan manusia pada tanah dan kezaliman orang-orang kuat sepanjang sejarah menjadi penghalang utama ke arah mengenal 'manusia sempurna' (Imam). Fokus serangan yang dilakukan oleh syaitan akan terhenti ketika berlaku hubungan antara manusia dengan 'Imam'. Kejayaan seseorang manusia terletak pada kemampuannya dalam menghadapi serangan itu."
Beliau turut menyifatkan seluruh jenis pemerintahan dan aliran fahaman manusia di dunia sepanjang sejarah telah menerapkan bentuk teorinya dan kini hanya semuanya hanya menjadi bahan sejarah. Tambahnya "Ummat manusia kini sedang mencari jalan yang baru dan hakikat yang terang serta sesuai dengan fitrah. Hakikat ini menjadikan tanggungjawab rakyat Iran semakin berat."
Ketika berbicara tentang kuasa besar dunia, beliau mengingatkan, "Anda semua cuba melaksanakan langkah untuk menghalang manusia dari bergabung dengan jalan para Nabi dan kini anda semua sedang menyaksikan kekalahan, kerendahan dan keaiban pada diri anda. Kami ingin mengajak anda untuk kembali kepada kebenaran. Kami berharap anda akan mendengar seruan ini dan segera berusaha bagi mengenal Imam yang diciptakan untuk seluruh ummat manusia."

No comments: