Thursday, November 13, 2008

PELURU BERPANDU IRAN "SIJJIL" MAMPU SASAR ISRAEL DAN EROPAH

*Peluru berpandu 'Sijjil' sedia untuk diuji pada majlis pelancarannya di Teheran baru-baru ini.

TEHRAN - Iran berkata mereka berjaya menguji peluru berpandu jarak jauh generasi baru yang mampu mensasarkan serangan sejauh Israel sehingga tenggara Eropah. Menteri Pertahanan, Mostafa Mohammed Najjar, dalam siaran televisyen berkata, peluru berpandu 'Sijjil' itu adalah peluru berpandu bahan bakar padu yang mampu mencapai jarak 2000 kilometer. Peluru berpandu bahan bakar padu adalah lebih tepat berbanding peluru berpandu bahan bakar cecair dalam jarak sama yang dibangunkan Iran.
Negara itu turut memiliki peluru berpandu bahan bakar padu dengan jarak dekat iaitu 'Fateh' yang mampu mencapai sasaran 200 kilometer. Najjar berkata, peluru berpandu dua fasa dengan dua enjin bahan bakar padu itu memiliki 'kemampuan luar biasa' tetapi beliau enggan mengulas lanjut. Katanya, peluru berpandu itu akan digunakan sebagai senjata pertahanan terhadap ancaman dihadapi Iran dan bukan bertujuan untuk serangan.
Beliau berkata, peluru berpandu itu adalah sebahagian 'strategi pertahanan dan pencegahan dengan objektif utama mempertahankan negara'. Tentera Amerika dan agensi perisikan luar turut memantau ujian peluru berpandu itu pada jarak 360 kilometer dari tenggara Tehran dan seorang pegawai kanan tentera Amerika berkata, peluru berpandu itu terbang sembilan saat dan mencapai jarak 290 kilometer sebelum berubah haluan dan meletup.
Presiden Dr Mahmoud Ahmadinejad dalam ucapannya sempena pelancaran peluru berpandu itu memberi amaran bahawa kerajaannya akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman yang dihadapi oleh mereka. Beliau berkata, adalah tidak penting siapa yang menjadi Presiden Amerika kerana soalan yang lebih penting adalah bagaimana corak pentadbiran negara itu pada masa akan datang.

No comments: