Friday, November 21, 2008

MALAYSIA KUTUK REJIM ZIONIS ISRAEL


KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas. Sehubungan itu, Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.
Wisma Putra dalam kenyataan akhbar di sini berkata, langkah itu perlu supaya rejim tersebut segera menghormati undang-undang antarabangsa, akur dengan resolusi PBB dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap usaha damai oleh pelbagai pihak.
''Pengepungan berterusan ini memburukkan lagi krisis kemanusiaan di kawasan terbabit dan akan menyebabkan bencana kemanusiaan. Tindakan agresif Israel yang berlarutan dan mencengkam penduduk wilayah Gaza, menafikan hak asasi mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan dan tenaga, secara amnya menjadikan kehidupan yang sengsara dan tidak bermakna di Gaza,'' katanya.
"Malaysia melahirkan rasa sedih dan hairan apabila melihat masyarakat antarabangsa terus berdiam diri, lesu dan tidak berusaha untuk menangani situasi kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza. Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis itu,'' tegasnya.

No comments: