Tuesday, November 18, 2008

LAGI 50,000 PEKERJA CITIGROUP DIBUANG


NEW YORK - Gergasi perbankan Amerika Syarikat, 'Citigroup' mengumumkan bahawa ia akan menghentikan 50,000 kakitangan ketika keadaan krisis kewangan global semakin meruncing.
Pengumuman tersebut menyusul pengakuan kerajaan Jepun bahawa negara kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia itu turut dicengkam kemelesetan.
Sebelum ini, 'Citigroup' yang memiliki 358,000 kakitangan di 12,000 cawangannya di seluruh dunia sudah mengumumkan bahawa ia membuang 22,000 pekerja. Bank yang beribu pejabat di New York itu merupakan bank terbesar di dunia dari segi perolehan dan memiliki 200 juta pelanggan di 107 buah negara.
Rancangan tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai 'Citigroup', Vikram Pandit di laman web syarikat itu. 'Citigroup' merekodkan kerugian empat suku kewangan termasuk kerugian USD 2.8 bilion (RM10 bilion) pada suku ketiga. Pengerusi 'Citigroup', Win Bischoff dalam satu forum di Dubai berkata, beliau akan bertanggungjawab terhadap prestasi syarikat itu. Bischoff tidak menolak kemungkinan para pegawai 'Citigroup' tidak mendapat sebarang bayaran bonus pada bulan depan (Disember 2008).

No comments: