Thursday, November 6, 2008

MEDIA ISRAEL PUJI BARACK OBAMA




*Gambar (tengah) : Beberapa muka depan akhbar kebangsaan di London menunjukkan liputan kemenangan Obama.
*Gambar (atas sekali) : Emanuel.
*Gambar (bawah sekali) : Obama melambaikan tangannya ke arah orang ramai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa stafnya di Chicago.

BAITULMAQDIS – Media di Israel memuji bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang meminta Rahm Emanuel untuk menjadi ketua kakitangannya di White House. Sebuah akhbar di Israel turut menganggap Emanuel yang berketurunan 'Yahudi' sebagai 'orang kita di White House'.
Stesen-stesen radio dan akhbar Israel menyatakan bapa Emanuel dilahirkan di Baitul Maqdis dan pernah menjadi anggota sebuah pergerakan bawah tanah Yahudi, 'Irgun' yang menentang askar-askar British sebelum penubuhan negara Israel.
Menurut sebuah stesen radio, Emanuel sendiri secara sukarela berkhidmat dengan tentera Israel dan bertugas selama dua bulan di sebuah pangkalan di utara Israel dalam Perang Teluk pada tahun 1991.
"Adalah jelas bahawa beliau akan menggunakan pengaruhnya ke atas Presiden (Obama) supaya menjadi pro-Israel," kata bapa Emanuel, Dr. Benjamin kepada akhbar 'Maariv' di Israel.
Dr. Benjamin menyatakan anaknya itu menghabiskan masa musim panas dengan melawat Tel Aviv, Israel dan beliau boleh bercakap bahasa Hebrew tetapi tidak begitu fasih.
Sebelum ini, pihak Parti Demokrat sudah meminta Emanuel untuk menjadi ketua kakitangan iaitu satu tugas penting bagi membentuk perjalanan pentadbiran White House.
Emanuel pernah menjadi pembantu sewaktu Bill Clinton menjadi Presiden Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Kempen Parti Demokrat pada 2006 dan memainkan peranan penting dalam mengembalikan pengaruh Parti Demokrat selepas 12 tahun dibayangi oleh kejayaan Parti Republikan. Emanuel juga kekal berkecuali ketika Obama berentap dengan Senator Hillary Clinton untuk menjadi calon Presiden Amerika bagi mewakili Parti Demokrat.
Obama menang dalam pilihan raya Presiden Amerika dengan menewaskan Senator John McCain daripada Parti Republikan. Beliau akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika pada bulan Januari 2009 yang akan datang sekali gus menjadi penduduk kulit hitam pertama memegang jawatan itu.
Sementara itu, sebuah akhbar di Amerika menyatakan Obama kini menyenaraikan barisan kabinetnya dengan spekulasi bahawa anak bekas Presiden Amerika, John F. Kennedy, Caroline mungkin menjadi Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Seorang lagi anak kepada adik Kennedy iaitu Robert F. Kennedy Jr. turut dilaporkan mungkin menjadi pentadbir Agensi Perlindungan Alam Sekitar.
Obama turut dijadualkan menghadiri taklimat keselamatan Pengarah Perisikan Kebangsaan, Michael McConnell. "Obama diberikan taklimat berhubung kemampuan yang kita lakukan untuk Amerika," kata Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Michael Hayden dalam surat kepada kakitangan-kakitangannya.

No comments: