Wednesday, November 5, 2008

MUFTI BARU PERLIS...DR AZWIRA ATAU DR JUANDA AKAN GANTI DR ASRI?


*Gambar : Dr Asri (atas), Dr Dr Azwira (tengah) dan Dr Juanda (bawah).

Dua tokoh agama telah dicadangkan kepada Raja Perlis sebagai calon mufti Perlis yang baru bagi menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bakal tamat perkhidmatannya hujung bulan ini. Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas Naib Mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya telah dicalonkan untuk mengisi kerusi penting itu. Dr Juanda sebelum ini bertugas sebagai Ketua Penolong Mufti, anak Sarawak lulusan Universiti al-Azhar itu kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah di bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak.
Pada 7 Oktober 2008 yang lalu, Dr Mohd Asri memutuskan untuk bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya. Beliau menyifatkan cara pengurusan kontraknya "macam main silap mata". Sehari selepas itu beliau diterima mengadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasratnya itu. Bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu akhirnya bersetuju untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama sebulan sebelum berlepas ke Britain selama tujuh bulan bagi menjalankan satu kajian berkaitan pengajian Hadis dan Politik.
Dr Azwira turut mengesahkan bahawa ia telah dimaklumkan berkenaan perkara itu oleh Dr Mohd Asri selepas pertemuan mufti tersebut dengan Raja Perlis. Dr Azwira bagaimanapun belum membuat keputusan akan menerima pelantikan itu jika terpilih. Pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah itu merupakan pemegang Doktor Falsafah dari UKM, Sarjana dari Jordan dan Sarjana Muda dari Universiti Islam Madinah. Pengarang beberapa buah buku berkenaan 'Akidah Ahlus Sunnah wal-Jamaah' itu juga berkata akan menerima pelantikan itu jika mendapat sokongan padu daripada rakyat Perlis dan tidak terlibat dengan unsur-unsur politik seperti yang didakwa berlaku terhadap Dr Mohd Asri sebelum ini. Bapa kepada lima orang anak itu juga berkata sedang menimbangkan faktor-faktor lain seperti sentimen kenegerian dan hal-hal peribadi melibatkan penghijrahannya ke negeri itu dan proses menamatkan perkhidmatannya dengan UKM. Ketika menjelaskan situasi kenegerian itu, beliau berkata : "Dua minggu lepas saya ke Perlis. Saya lihat masih wujud sentimen kenegerian." Anak kelahiran Kelantan itu kini menetap di Semenyih, Selangor.
Dr Mohd Asri yang berasal dari Bukit Mertajam memecahkan tradisi apabila dilantik sebagai mufti Perlis dua tahun lalu. Dr Azwira bagaimanapun tidak kisah sesiapa pun yang bakal mengisi jawatan itu selagi mempunyai pemikiran dan fikrah 'Ahlus Sunnah wal-Jamaah'. Ditanya fokus dan pendekatan beliau jika dipilih, beliau yang sudah 16 tahun berpengalaman mengajar di UKM dalam bidang agama berkata : "Saya ingin 'fikrah sunnah' (Ahlus Sunnah wal-Jamaah) diteruskan. Mungkin saya tidak setanding dengan Dr Mohd Asri yang terkenal di peringkat nasional. Saya ingin fokuskan kepada aktiviti pemantapan fahaman 'Ahlus Sunnah Wal Jamaah di peringkat negeri."

No comments: