Sunday, November 23, 2008

TENTERA ISRAEL MAHU RANGKA PELAN SERANG IRAN

BAITULMAQDIS : Barisan Panglima tentera Zionis Israel merangka satu penilaian keselamatan yang mahukan pelan serangan ketenteraan ke atas Iran diwujudkan selain meminta rejim Zionis menghalang sebarang pilihan raya baru Palestin. Mereka mahukan pilihan raya Palestin itu disekat 'dalam apa keadaan pun' biarpun terpaksa berdepan pertikaian baru dengan sekutu rapat, Amerika Syarikat.
Pada masa sama, mereka menyifatkan pentadbiran Presiden baru Amerika, Barack Obama sebagai peluang keemasan bagi membantu mereka melaksanakan rancangan bersesuaian. "Satu operasi besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza perlu dilaksana bagi menggulingkan Hamas jika pelan damai tajaan Mesir gagal dilaksanakan pada Jun 2009 akan datang," kata laporan yang didedahkan oleh akhbar Haaretz baru-baru ini.
Laporan itu adalah penilaian yang bakal dikemukakan kepada Kabinet bulan depan (Disember 2008) yang menjadi sebahagian daripada kajian Majlis Keselamatan Negara Israel. Pemimpin pertahanan itu mendakwa pelan luar jangka berhubung serangan ke atas Iran perlu diadakan kerana menganggap Tehran adalah ancaman utama kelangsungan negara Yahudi berkenaan. Malah, mereka meletakkan Iran di kedudukan teratas senarai ancaman Israel, diikuti kewujudan peluru berpandu jarak jauh serta roket dimiliki negara di rantau itu.
Menurut laporan itu lagi, Israel berdepan dengan semua ancaman itu secara sendirian. Amat penting bagi menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk menjayakan pelan ini dan memperoleh kerjasama serantau. Malah pentadbiran baru Washington, menjadi peluang bagi pelaksanaan perkara ini. Kumpulan Panglima tentera Zionis itu turut mendakwa bahawa Israel mempunyai peluang yang terhad untuk bertindak bagi menghalang Iran mengukuhkan kekuatan senjata nuklearnya.

No comments: