Thursday, November 13, 2008

SAYYID HASAN NASRULLAH : JANGAN TERLALU HARAPKAN OBAMA

Beirut - Pemimpin Tertinggi Hizbullah Lebanon, Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah mengingatkan penyokongnya supaya jangan terlalu mengharapkan perubahan pada dasar luar Amerika Syarikat berikutan pemilihan Barack Obama sebagai Presiden.
Beliau memberi peringatan itu sewaktu berucap sempena Hari Syuhada anjuran Hizbullah di pinggir Beirut selatan baru-baru ini.
"Dunia Arab, dunia ketiga dan dunia Afrika boleh mengaitkan diri dengan Obama disebabkan asal usulnya atau warna kulitnya tetapi politik dan kepentingan adalah soal lain. Jangan terlalu menaruh harapan atau memberi harapan menggunung kepada orang lain supaya tidak ada sesiapa yang akan menjadi kecewa atau tersilap langkah," katanya.
Ucapan beliau disiarkan kepada beribu-ribu penyokong Hizbullah menerusi skrin televisyen besar selepas pejuang Hizbullah berarak dalam satu perbarisan ketenteraan. Orang ramai mengibarkan bendera kuning Hizbullah dan bendera kebangsaan Lebanon sambil bertepuk sorak.
"Saya tidak mahu meramalkan perkembangan akan datang tetapi secara rasionalnya kita tidak harus mengharapkan perubahan dalam soal menghapuskan kezaliman atau percaya beliau akan bersikap lebih bertolak ansur atau lebih adil berbanding Presiden terdahulu," tegasnya lagi merujuk kepada Obama.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan pilihan raya di Amerika itu membuktikan kegagalan dasar-dasar Presiden George W. Bush selama ini.

No comments: