Tuesday, November 4, 2008

AKHIRNYA OBAMA DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT YANG KE-44


*Penyokong Barack Obama meraikan pemilihan beliau sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat di Grant Park, Chicago, Illinois.

WASHINGTON – Rakyat Amerika Syarikat memilih calon Demokrat, Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam mereka yang pertama, dengan memberi beliau kemenangan bersejarah ke atas calon Republikan, John McCain.
Barack Obama berjanji akan melakukan perubahan dalam ucapan sulung selepas menjadi warga berkulit hitam pertama berkuasa di Rumah Putih. "Ia satu perjalanan yang jauh. Tapi malam ini, tiba harinya dalam pilihan raya, saat yang bermakna, perubahan sudah tiba bagi Amerika," katanya di hadapan lebih 65,000 penyokongnya di Chicago. Beliau turut berterima kasih kepada pasukan kempennya, iaitu isteri, anak dan mendiang neneknya yang meninggal sehari sebelum pembuangan undi.
Beliau berkata, "Saya tidak pernah bayangkan untuk ke Rumah Putih. Kami tidak bermula dengan banyak wang atau cadangan. Kempen kami tidak bermula di Washington, ia bermula di lorong belakang di Des Moines, bilik tetamu atau ruang depan Charleston."
Anak kepada lelaki kulit hitam dari Kenya dengan emaknya dari Kansas, Obama meraih undi popular selepas ucapan yang dianggap amat baik di Dewan Konvensyen Demokratik pada tahun 2004 bagi mendapatkan kerusi Senat.
Sementara itu di Phoenix, calon Republikan, John McCain, menerima keputusan pengundi yang tidak memihak kepadanya dan mengucapkan tahniah atas kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Bercakap secara langsung yang disiarkan oleh CNN, McCain berkata, beliau sudah menghubungi Obama dan mengucapkan tahniah dan syabas kepadanya. "Walaupun apa juga perbezaan antara saya dan Obama, demi Amerika kita menyokong demi kemajuan negara," katanya.

No comments: