Monday, November 10, 2008

KERAJAAN MALDIVES BERHASRAT BELI TANAH KERANA BIMBANG TENGGELAM


* Gambar : Seorang pelancong berjalan di tepi pantai di Pulau Kurumba, Maldives yang dijangka turut tenggelam.

Presiden Maldives yang baru dipilih, Mohamed Anni Nasheed mengumumkan bahawa kerajaannya akan mula menyimpan wang bagi membeli tanah air baru sebagai persediaan jika negara berkenaan hilang akibat ditenggelami air laut kesan daripada pemanasan global.
Maldives yang mempunyai 1,192 pulau terumbu karang terletak di Lautan Hindi iaitu kira-kira 700 kilometer ke barat daya Sri Lanka dan merupakan antara destinasi pelancongan popular dunia. Namun, pantai-pantainya yang putih bersih dan perairan jernih kini berdepan risiko akan hilang daripada peta dunia disebabkan oleh peningkatan paras laut akibat perubahan cuaca dunia. Salah sebuah pulau di negara itu, Kurumba sedang berdepan ancaman akan tenggelam akibat kenaikan paras laut.
Berikutan ancaman tersebut, Mohamed Anni yang merupakan Presiden pertama negara itu dipilih melalui proses demokrasi menyatakan kerajaannya akan mengasingkan sebahagian pendapatan tahunan negara berjumlah berbilion-bilion USD hasil daripada industri pelancongan bagi tujuan membeli tanah.
"Kita tidak berdaya menghentikan perubahan cuaca dunia secara bersendirian dan kerana itu kita perlu membeli tanah di tempat lain. Ia seperti polisi insurans jika perkara yang kita bimbangkan selama ini berlaku. Kita seboleh-bolehnya tidak mahu meninggalkan Maldives namun kita juga tidak mahu hidup di khemah-khemah pelarian selama beberapa dekad jika negara ini tenggelam," katanya.
Sebelum ini, Panel Merentasi Kerajaan Berhubung Ramalan Perubahan Cuaca Dunia menyatakan para air laut di gugusan Kepulauan Maldives akan meningkat hingga 58 sentimeter menjelang tahun 2100.
Menurut Mohamed Anni, beliau sudah membincangkan isu pembelian tanah dengan beberapa negara dan mereka mendapat maklum balas positif. Jelasnya lagi, antara negara yang dipertimbangkan bagi tujuan tersebut ialah India dan Sri Lanka kerana memiliki cuaca dan budaya yang sama dengan Maldives. Selain dua negara itu, Australia turut menjadi pilihan berikutan tanahnya yang luas.
Menyedari pembelian tanah itu memerlukan wang yang banyak, kerajaan Maldives bercadang menubuhkan satu tabung kekayaan negara hasil daripada sektor pelancongan seperti yang dilakukan oleh negara-negara Arab melalui pendapatan minyak mereka.
"Kuwait mungkin melabur dalam syarikat-syarikat, kami akan membeli tanah," katanya.
Sebelum ini Presiden Maumoon Abdul Gayoom yang akan berundur tidak lama lagi melancarkan sebuah buku pada April 2008 yang lepas bagi menekankan ancaman pemanasan global ke atas negara itu. Ketika itu beliau berkata, satu-satunya penyelesaian berhubung masalah tersebut adalah dengan memindahkan penduduk negara itu ke pulau yang lebih selamat. Satu lagi cadangan adalah dengan membina barisan tembok perlindungan di 193 buah pulau yang dihuni, namun katanya ia sukar dilaksanakan kerana kos yang tinggi.

No comments: