Saturday, November 8, 2008

AHMADINEJAD UCAPKAN TAHNIAH KEPADA OBAMA

Presiden Republik Islam Iran, Dr Mahmoud Ahmadinejad, mengucapkan tahniah kepada Barack Obama yang terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Ini merupakan kali pertama seorang pemimpin Iran mengucapkan tahniah kepada seorang pemimpin baru Amerika sejak tercetusnya 'Revolusi Islam Iran' pada tahun 1979 yang mengakibatkan hubungan kedua negara menjadi renggang.
Ahmadinejad mengatakan, "Kerajaan Iran sentiasa menyambut baik kemunculan sebarang perubahan yang mampu menjurus kepada keadilan dalam dasar-dasar luar Amerika."
Beliau turut berharap Obama tidak akan mengikuti jejak langkah Presiden Amerika ketika ini, George W. Bush. "Saya berharap anda akan lebih mengutamakan kepentingan dan keadilan umum yang lebih terserlah berbanding hanya memenuhi tuntutan dari kaum minoriti yang bersifat ego (baca : George W.Bush) serta mensia-siakan peluang untuk berkhidmat kepada rakyat bawahan sehingga anda akan menjadi seorang tokoh yang sentiasa dikenang," demikian pesanan berharga Ahmadinejad kepada Obama.
Beliau juga meminta Obama agar sentiasa konsisten dalam menghormati hak asasi manusia dan memperkuatkan nilai-nilai kekeluargaan serta memulihkan semula wajah Amerika yang semakin luntur.
Menurutnya lagi, "Negara-negara lain juga turut berharap agar segala dasar luar Amerika yang berorientasikan peperangan, penjajahan, pemerasan dan diskriminasi segera diganti dengan dasar-dasar yang memperjuangkan keadilan, penghormatan ke atas hak asasi manusia, persahabatan serta tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara lain."
Beliau juga meminta agar kerajaan Obama memikirkan tentang usaha pemulihan hubungan diplomatik dengan Iran dan mencari kaedah untuk meredakan ketegangan di Timur Tengah, Iraq dan Afghanistan. Katanya, "Semasa di bawah pemerintahan Bush, Amerika sentiasa bersikap keras dengan Iran terutama dalam isu yang berkaitan dengan teknologi nuklear di Iran. Malah Bush menyenaraikan Iran sebagai 'Paksi Kejahatan' bersama dengan Iraq di bawah rejim mendiang Saddam Hussein dan Korea Utara."
Sebelum memenangi pilihan raya presiden pada 4 November 2008 yang lepas, Obama sering mengkritik dasar dan pendekatan Bush yang sentiasa mengancam negara-negara lain. Bahkan Obama dalam satu perdebatan calon presiden pada bulan Julai 2008 yang lepas berjanji akan mengutamakan pendekatan dialog dalam menyelesaikan sebarang permasalahan dengan negara-negara seperti Iran, Syria, Venezuela, Cuba dan Korea Utara.
Obama pernah mengungkapkan pandangannya tentang Ahmadinejad, "Ahmadinejad bukanlah orang yang paling berkuasa di Iran. Mungkin dia bukan orang yang paling tepat untuk diajak berbicara. Namun, sebagai Presiden Amerika Syarikat, saya berhak untuk bertemu dengan siapa saja, di mana jua dan bila-bila masa yang saya suka sekiranya itu semua akan membuat Amerika menjadi sebuah negara yang aman."

No comments: