Tuesday, November 25, 2008

MARKAS AJARAN HAJI ABDUL KAHAR DISERBU DAN DIMUSNAHKAN

* Gambar : Markas Haji Abdul Kahar diserbu dan dimusnahkan dalam operasi melibatkan 65 anggota penguat kuasa pelbagai agensi kerajaan di Gombak.

GOMBAK - Abdul Kahar Ahmad atau Haji Abdul Kahar (HAK) yang pernah menggemparkan negara pada awal tahun 1990-an apabila mendakwa dirinya sebagai Nabi dan Rasul terus diburu oleh pihak berkuasa kerana dikesan masih rancak menyebarkan fahaman dan dakyah songsang.
Tindakan untuk memburunya dibuat berikutan penemuan markas baru kumpulan itu di sebuah resort seluas empat hektar di kaki bukit di sebuah perkampungan Orang Asli iaitu kira-kira lima kilometer dari Kampung Kemensah berhampiran Gombak.
Abdul Kahar pernah menjadikan kediamannya yang terletak bersebelahan sekolah agama di Kampung Kemensah sebagai lokasi menghuraikan hal ehwal al-Quran dan agama sebagai menggantikan solat. Antara ajaran songsang yang menjadi pegangan kumpulan ini ialah solat lima waktu tidak wajib tetapi memadai dengan membuat kebaikan dan menjauhi perkara mungkar.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dr. Mohd. Mohadis Yassin, fahaman bawaan HAK atau 'Ajaran HAK' telah diaktifkan semula oleh serpihan pengikut-pengikut setianya di sini pada awal tahun 2007 walaupun ajaran itu telah difatwakan haram pada tahun 1991.
Sehingga kini, pengaruh Haji Abdul Kahar dikatakan masih menebal dan dipercayai mempunyai lebih 1,000 pengikut di kawasan Lembah Klang dan ini tidak termasuk di negeri-negeri lain.
Hasil risikan dan maklumat bekas pengikutnya, JAIS bersama 65 anggota dari Pejabat Tanah Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, telah bertindak merobohkan dan membakar sembilan calet di resort berkenaan.
Bagaimanapun, semasa operasi yang bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir dua jam selepas itu, Haji Abdul Kahar dan para pengikutnya 'lesap' walau pun cubaan menjejaki mereka di dalam hutan dilakukan.

No comments: