Sunday, November 30, 2008

FATWA AYATULLAH AL-'UZMA SYEIKH WAHID KHORASANI TENTANG HUBUNGAN DAN PERGAULAN DENGAN PARA PENGIKUT AHLUS SUNNAH WAL JAMA'AH

Ayatullah al-'Uzma Syeikh Wahid Khorasani dalam sebuah fatwanya yang terkini menyeru para pengikut mazhab Ahlul Bait untuk mewujudkan hubungan baik dengan para pengikut mazhab Ahlus Sunnah sama seperti saudaranya yang mukmin.
Tersebarnya fatwa penting itu menunjukkan pandangan jauh beliau dalam isu perpaduan di kalangan ummat Islam. Fatwa itu memuatkan satu tugas yang mesti dilakukan oleh para pengikut mazhab Ahlul Bait terhadap saudara-saudaranya yang seagama dari kalangan mazhab Ahlus Sunnah. Berikut adalah pertanyaan yang diajukan kepada beliau berserta jawabannya :
SOALAN : Dengan nama Allah...Kami adalah para pengikut mazhab Ahlul Bait yang tinggal di sebuah kawasan yang dikelilingi oleh para penduduk dari kalangan mazhab Ahlus Sunnah. Malangnya, mereka menganggap kami sebagai 'kafir' dan menuduh bahawa para pengikut mazhab Ahlul Bait adalah orang-orang yang 'kafir'. Dalam situasi seperti ini, apakah kami dibolehkan untuk bersikap sama seperti yang mereka lakukan ke atas kami? Apakah kami boleh menganggap mereka sebagai kafir sebagaimana tuduhan kafir yang mereka lemparkan ke atas kami? Apakah kami boleh bergaul dengan mereka sama seperti pergaulan kami dengan orang-orang kafir yang lain? Kami memohon penjelasan berhubung tanggungjawab syar’i kami dalam menghadapi serangan seperti ini. Sekian, terima kasih.
JAWABAN DARIPADA AYATULLAH AL-'UZMA SYEIKH WAHID KHORASANI :
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Sesiapa saja yang bersaksi terhadap keesaan Allah (swt) dan bersaksi terhadap risalah kenabian Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad (saw), maka sesungguhnya dia adalah seorang Muslim. Jiwa, kehormatan diri dan hartanya adalah terpelihara dan wajib dilindungi sama seperti jiwa, kehormatan diri dan harta seorang yang mengikuti mazhab Ahlul Bait.
Kewajiban syar’i anda adalah bersikap baik dan penuh rasa hormat terhadap sesiapa sahaja yang mengucapkan dua kalimah syahadah, meskipun mereka menganggap anda sebagai 'kafir'. Sekiranya mereka memperlakukan anda secara tidak benar, jangan sampai anda menyimpang dari keadilan dan jalan yang lurus.
Jika ada di antara mereka yang sakit, pergilah anda untuk menziarahinya. Jika ada di antara mereka yang meninggal dunia, ikutlah dalam mengiringi jenazahnya. Sekiranya ada dari kalangan mereka yang memiliki hajat dan keperluan di sisi anda, maka penuhilah hajatnya. Pasrahlah anda kepada firman Allah (swt) :
« ولايجرمنكم شنئان قوم علي الا تعدلوا اعدلوا هو اقرب للتقوي »
Maksudnya : "Jangan sampai keingkaran sesuatu kaum menjadikan anda tidak berlaku adil. Berlaku adillah, (kerana) ia terlebih dekat dengan ketaqwaan."
Laksanakanlah perintah Allah (swt) :
« ولاتقولوا لمن القي اليكم السلام لست مومنا »
Maksudnya " Dan jangan sekali-kali anda katakan kepada orang yang mengucapkan 'salam' kepadamu, 'engkau bukan seorang mukmin'."
*Berdasarkan fatwa marji' dan ulama besar dalam dunia mazhab Ahlul Bait itu, ada beberapa pengajaran penting yang boleh diambil :
  1. Isyarat beliau kepada ajaran al-Quran dan Hadis yang merupakan sumber utama ajaran Islam. Dalam ajaran Islam, isu perpaduan ummat Islam amat ditekankan di samping amaran bahawa perpecahan dan perselisihan di antara ummat hanya akan menjerumuskan mereka ke arah kegagalan dan terjebak dengan pelbagai kesulitan.
  2. Fatwa ini menunjukkan kebijaksanaan, kesedaran dan kemampuan para 'ulama dan marji' dalam dunia mazhab Ahlul Bait dalam menangani situasi ummat Islam di seluruh dunia. Mereka memberi perhatian yang besar terhadap nasib ummat Islam. Dalam menghadapi perancangan jahat musuh-musuh Islam yang secara meluas berusaha gigih dalam mewujudkan perselisihan, perseteruan dan perpecahan di kalangan ummat Islam dari berbagai mazhab, para 'ulama bermazhab Ahlul Bait sentiasa menunjukkan sikap dan pendirian yang bertentangan dengan kehendak musuh. Jawaban dan fatwa seperti ini ibarat 'air sejuk' yang memadamkan api fitnah yang dikobarkan oleh musuh-musuh ummat Islam. Ayatullah al-'Uzma Syeikh Wahid Khorasani melalui fatwanya telah menyingkirkan benih-benih perpecahan di antara Syiah dan Sunnah yang disebarkan oleh musuh. Fatwa tersebut menunjukkan kesedaran dan sikap bijaksana beliau yang patut dihargai oleh setiap insan yang cintakan perdamaian dan perpaduan. Dan sememangnya begitu peranan yang perlu dimainkan oleh para 'ulama di sisi ummat Islam.
  3. Pengumuman fatwa yang penuh kesedaran itu dibuat secara telus dan jelas. Langkah ulama besar dan marji' dalam dunia mazhab Ahlul Bait itu adalah berdasarkan keberaniannya yang seiring dengan ketakwaan dalam membela dan memperjuangkan kesinambungan Islam dan para pengikutnya. Makna keberanian ini hanya boleh difahami oleh mereka yang menyaksikan dan benar-benar menyedari tentang wujudnya perancangan jahat secara besar-besaran dari musuh Islam untuk memecah belahkan ummat Islam. Dalam melaksanakan agendanya, pihak musuh disokong oleh pelbagai prasarana dan kemudahan yang dimilikinya. Konspirasi dan agenda jahat musuh itu dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu secara sekaligus iaitu 'dalaman' dan 'luaran'. Media massa dan pelbagai sumber maklumat yang moden memainkan peranan yang penting ditambah lagi dengan berbagai tipu muslihat dan kaedah-kaedah propaganda yang baru. Semua itu dilakukan oleh musuh dengan memanfaatkan keterbelakangan dan kemunduran sebahagian ummat Islam yang tidak memahami dan menghayati dengan baik isi kandungan ajaran agama yang mereka anuti. Dengan adanya konspirasi tersebut, dunia Islam telah mengalami kerugian dan menerima pukulan yang amat menyakitkan. Akan tetapi, kesedaran sebahagian para pemimpin Islam yang berjaya mendedahkan tentang wujudnya perancangan jahat musuh terhadap Islam dan ummatnya sedikit banyak telah berjaya membela Islam dari menerima pukulan yang lebih teruk. Sikap positif, fatwa yang konstruktif dan menimbulkan kesedaran ummat daripada para 'ulama dan marji' akan menggagalkan semua konspirasi musuh.
  4. Fatwa itu muncul tepat pada masanya ketika sekumpulan 'ulama yang berfahaman Wahabi membuat fatwa yang mengharamkan ummat Islam menjual rumah dan tanah mereka kepada ummat Islam yang bermazhab Ahlul Bait. Fatwa-fatwa para 'ulama Wahabi yang ekstrim itu hanya menyenangkan pihak imperialis yang memusuhi Islam kerana melalui fatwa-fatwa seperti itulah mereka mampu melaksanakan agenda imperialisme dengan cara menyebarkan perpecahan dan perselisihan di kalangan ummat Islam. Apalagi ummat Islam kini sedang menanti pelaksanaan ibadah haji di tanah suci Mekah. Amat malang sekali, ada di kalangan ummat Islam yang menerima dan meyakini fatwa-fatwa yang jelas bermotifkan fitnah itu lalu menyebarkan slogan-slogan yang menghukumkan para pengikut mazhab Ahlul Bait sebagai 'kafir'. Tindakan itu sengaja dilakukan untuk memancing reaksi negatif dari kalangan para ulama bermazhab Ahlul Bait. Dengan adanya reaksi keras dari mazhab Ahlul Bait, perpecahan di antara dua kelompok terbesar ummat Islam iaitu Syiah dan Sunnah pasti akan wujud. Perkara inilah yang diinginkan oleh golongan imperialis. Namun, tepat pada waktunya, Ayatullah al-'Uzma Syeikh Wahid Khorasani dalam fatwanya telah menyeru para pengikut mazhab Ahlul Bait untuk mengeratkan tali persaudaraan dengan ummat Islam yang bermazhab Ahlus Sunnah sambil mengajak semua pihak untuk meneladani semangat persaudaraan yang pernah berlaku di kalangan ummat Islam di awal sejarah Islam. Sememangnya itulah yang diwasiatkan oleh al-Quran yang mulia. Fatwa tersebut berperanan besar dalam memadamkan api fitnah yang cuba dikobarkan oleh kelompok ekstrim yang berfahaman Wahabi.
  5. Fatwa tersebut turut membawa pesanan penting yang sering dilaungkan oleh perjuangan revolusi Islam di Iran. Imam Khomeini (qs) yang memimpin revolusi agung Islam di Iran memberikan perhatian yang luar biasa kepada isu perpaduan ummat Islam di seluruh dunia. Dalam banyak fatwanya yang berkenaan dengan pelbagai masalah, Imam Khomeini (qs) sentiasa menekankan peri pentingnya perpaduan di kalangan ummat Islam. Pendirian tersebut dilanjutkan oleh pengganti beliau, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatullah al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei. Para maraji' dan ulama besar yang lain dalam mazhab Ahlul Bait juga turut menekankan isu perpaduan ummat Islam dan secara praktikalnya mereka juga mengamalkan prinsip perpaduan itu. Kesimpulannya, semua pihak bertanggungjawab untuk menyampaikan seruan ke arah kesatuan Islam dan melangkah ke arah mewujudkan perpaduan di kalangan ummat Islam. Allahu Akhbar!!!


No comments: