Monday, November 17, 2008

IRAN BIAYAI PEMBINAAN KOMPLEKS IMAM BUKHARI DI SAMARKAND, UZBEKISTAN

*Gambar : Beberapa pelancong mengambil kesempatan membaca surah al-Fatihah di Makam Imam al-Bukhari di Kompleks Imam Bukhari di Samarkand.

SAMARKAND (Uzbekistan) - Kira-kira 1,000 pelawat, termasuk bukan Islam dari seluruh dunia, menziarahi makam ulama hadis terkenal Imam Al-Bukhari di sebuah kampung bernama Khartang di Samarkand.
Sejarawan tempatan Abdul Ghani Mukmin berkata, bangunan berbentuk empat segi berhiaskan arca di kawasan asal makam Imam Al-Bukhari yang ada sekarang telah dibina oleh kerajaan Uzbekistan pada 1997 dengan pembiayaan kerajaan Iran.
"Ia dibina 1,225 tahun selepas kematian Imam Al-Bukhari," katanya semasa ditemui di kompleks Imam Al-Bukhari di sini. Beliau berkata, kompleks itu dibina selepas Uzbekistan mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union pada tahun 1991, yang sebelum itu mengharamkan ummat Islam menunaikan solat di masjid dan menziarahi kawasan perkuburan.
Kompleks Imam al-Bukhari, yang menggunakan seni bina Uzbekistan, dirasmikan pembukaannya pada 23 Oktober 1998. Bagaimanapun, menurut beliau, kebanyakan pengunjung hanya dibenarkan melawat bangunan itu sahaja, manakala makam asal Imam Bukhari yang terletak di bawah bangunan berkenaan, hanya boleh diziarahi dengan melalui satu pintu khas setelah mendapat keizinan daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengurus kompleks itu.
Selain makam ulama terkenal ini, kompleks berkenaan mengandungi Masjid al-Bukhari dan sebuah muzium yang mempamerkan kitab suci al-Quran dari beberapa negara Islam.
Nama sebenar Imam al-Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail al-Bukhari. Beliau dilahirkan pada tahun 194 Hijrah, bersamaan 810 Masehi di Poyikent, sebuah kampung di Bukhara. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 256Hijrah, bersamaan 870 Masehi.

No comments: