Monday, November 3, 2008

EJEN MOSSAD DITANGKAP OLEH HIZBULLAH DI LEBANON

*Gambar : Ali Jarrah (kiri)
Timbalan Setiausaha Agung Hizbullah, Syeikh Naim Qasim menyatakan, Hizbullah akan terus berdiri di belakang tentera Lebanon. Beliau turut memuji tentera Lebanon kerana berjaya menangkap dua orang rakyat Lebanon yang menjadi ejen kepada badan perisikan Mossad Israel di wilayah Bekaa. Kedua mereka dikatakan diberi tugas untuk memantau pergerakan para pejuang Hizbullah Lebanon sejak tahun 1980an lagi. Beliau juga menegaskan tentang azam dan tekadnya untuk memperkuat Hizbullah sehingga mampu membantu tentera Lebanon untuk menghalang sebarang ancaman dari pihak Zionis Israel ke atas negara tersebut.
Menurutnya lagi, selagi semua pihak di Lebanon saling bekerjasama, maka rakyat Lebanon pasti mampu mengalahkan Zionis Israel. Dalam pidatonya, beliau turut mengecam serangan ganas Amerika Syarikat terhadap Syria.
Sementara itu, menurut laporan akhbar harian Lebanon 'al-Akhbar', salah seorang tahanan yang bernama 'Ali Jarrah' dikatakan telah ditangkap oleh pejuang Hizbullah di selatan Lebanon, yang berhampiran dengan kota Dahiyah pada bulan Julai 2008 yang lalu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Lebanon. Akhbar itu turut melaporkan bahawa Ali Jarrah dituduh mengintip setiap pergerakan para pemimpin tertinggi Hizbullah.
Ali Jarrah dikatakan turut mengakui bahawa beliau telah dilatih khas oleh badan perisikan Mossad Israel untuk mengumpulkan maklumat berkenaan setiap pergerakan yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan Palestin yang aktif di Lebanon pada pertengahan tahun 1980an. Menurut Ali Jarrah lagi, adiknya, 'Yusef' turut ditangkap kerana bersubahat membantu kerja-kerja pengintipannya.
Menurut laporan akhbar 'Lebanese Daily Star', penglibatan kedua lelaki tersebut dalam sebarang aktiviti pengeboman atau pengintipan belum lagi disahkan. Bagaimanapun, pihak berkuasa Lebanon turut menyiasat tentang kemungkinan penglibatan Ali Jarrah dalam operasi pembunuhan ke atas Komander Hizbullah, 'Imad Mughniyah dalam sebuah letupan bom kereta di Damsyik, Syria pada bulan Februari 2008 yang lalu.

No comments: