Wednesday, October 29, 2008

SYRIA ARAH SEKOLAH DAN PUSAT KEBUDAYAAN AMERIKA SYARIKAT DITUTUP

*Seorang anggota polis Syria berdiri di hadapan sebuah sekolah milik kerajaan Amerika Syarikat di Damsyik, Syria pada 28 Oktober 2008.

Damsyik - Kerajaan Syria telah mengarahkan sebuah sekolah dan sebuah pusat kebudayaan Amerika Syarikat di sini ditutup sebagai tindak balas terhadap serangan tentera Amerika ke atas sebuah perkampungan di wilayah negara itu berhampiran sempadan Iraq baru-baru ini.
Syria juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan bagi mengelakkan berulang serangan tersebut dan mendesak Amerika supaya bertanggungjawab.
Amerika enggan mengesahkan atau menafikan secara rasmi penglibatan tenteranya dalam serangan di kawasan tersebut, namun beberapa penduduk dan pegawai Syria menyatakan askar Amerika dibawa dengan helikopter sebelum mendarat dan membunuh lapan orang awam.
Di luar 'Sekolah Komuniti Damsyik' atau lebih popular sebagai 'Sekolah Amerika' di Maliki dan kawasan berdekatan, segalanya berjalan lancar dengan pemandu menunggu untuk mengambil pelajar asing dan tempatan.
Beberapa orang pelajar dan guru warga asing menyatakan bahawa mereka tidak tahu mengenai arahan penutupan tersebut dan enggan mengulas lanjut.
Tiada tanda-tanda kawalan keselamatan lebih ketat dan hanya kontinjen polis biasa seramai tiga anggota berkawal di pintu pagar sekolah tersebut.
Seorang pekerja tempatan di pusat kebudayaan Amerika itu juga menyatakan bahawa kakitangan akan tetap hadir kerana mereka tidak mendapat sebarang arahan berbuat demikian. Sekolah dan pusat kebudayaan yang mempunyai kaitan dengan Kedutaan Amerika itu menyediakan kemudahan kepada komuniti kecil warga Amerika di Syria dan warga asing lain.
Kabinet Syria mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai 'tindakan pengganas'.
"Jenayah kejam ini merupakan kemuncak kepada keganasan yang diamalkan oleh Amerika," demikian menurut sebuah kenyataan Kabinet.
Keputusan mengarahkan sekolah dan pusat kebudayaan Amerika itu ditutup dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri, Naji Otaro.

No comments: