Monday, October 27, 2008

TALIBAN CUNGKIL MATA PETANI YANG DITUDUH SEBAGAI PERISIK KERAJAAN

KANDAHAR - Seorang petani yang dituduh sebagai perisik kerajaan dan tentera antarabangsa telah dicungkil matanya oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai pejuang Taliban di selatan Afghanistan.
Petani dari wilayah Helmand itu, Sayyed Ghulam memberitahu, matanya dicungkil dengan pisau di depan ahli keluarganya. Beliau bagaimanapun enggan memberitahu siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam tersebut. Menurutnya, beberapa orang lelaki telah mengheretnya keluar dari rumah sambil menuduhnya sebagai pengkhianat.
"Selepas diheret kira-kira 20 meter dari rumah saya, mereka memegang tangan dan terus mencungkil mata saya. Saya berasa amat sakit dan dunia kemudiannya bertukar menjadi gelap," kata Sayyed dari atas katil hospital tempat dia dirawat di bandar Kandahar. Menurutnya, isteri dan anak-anaknya hanya mampu menjerit melihat kejadian itu.
Sementara itu, jurucakap kerajaan wilayah Helmand, Daud Ahmadi mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh anggota Taliban yang bergerak aktif di wilayah itu.
"Mereka telah membunuh ramai orang yang tidak berdosa seperti para petani, kanak-kanak dan wanita kerana menuduh mereka terlibat dalam kerja-kerja perisikan. Namun kali ini mereka bertindak kejam terhadap seorang petani miskin yang tidak berdosa," kata Daud.
Taliban sebelum ini pernah memancung kepala serta memotong telinga dan hidung penduduk yang dituduh menjadi tali barut kerajaan.

No comments: