Thursday, October 2, 2008

SOLAT AIDIL FITRI 1429H DI IRAN BERSAMA RAHBAR






Serentak dengan ummat Islam di Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain, rakyat Republik Islam Iran yang majoritinya bermazhab Ahlul Bait menyambut 'Hari Raya 'Aidil Fitri 1429H' pada 1 Oktober 2008 dalam suasana yang serba sederhana.
Di Qom, Solat 'Aidil Fitri di adakan di Masjid A'zam, bersebelahan dengan makam suci Sayyidah Fathimah al-Maksumah (as) yang dihadiri oleh ribuan orang dan di imamkan oleh Ayatullah Ibrahim Amini.
Sementara itu, di Musholla Imam Khomeini (qs), Tehran, Solat 'Aidil Fitri di imamkan oleh Pemimpin Spiritual Republik Islam Iran, Ayatullah al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei. Dalam khutbah pertama, Rahbar menyeru kepada ummat Islam supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah (swt), sementara dalam khutbah kedua, beliau menegaskan, "Kebangkitan ummat Islam menjadi punca masa depan ummat Islam ketika ini jauh lebih cerah berbanding di masa silam. Dalam masa yang sama, para musuh Islam dan para pencinta dunia kini telah mengakui kelemahan dan kekalahan mereka."
Rahbar turut menambah, "Meskipun ada tekanan yang kuat dari negara-negara imperialis terhadap ummat Islam, namun apa yang terjadi kini adalah berkat kesedaran ummat Islam. Ummat Islam sedang bergerak menuju ke arah masa depan yang lebih cerah."
Jelas Rahbar lagi, "Setelah tumbangnya kuasa Soviet Union, Amerika Syarikat menganggap dirinya sebagai sebuah kuasa besar yang tiada tandingan sambil mendabik dada sebagai kuasa besar tunggal di dunia namun kini Amerika terjebak dalam kancah dan kemelut di Palestin, Lebanon, Iraq dan Afghanistan."
Ketika menyentuh berkaitan 'Hari al-Quds Sedunia', Rahbar menyatakan, "Peringatan hari al-Quds Sedunia tahun ini diadakan di seluruh dunia Islam dari timur sehingga ke barat dunia bahkan di negara-negara Eropah dalam suasana yang lebih meriah berbanding sebelumnya. Di mana saja ummat Islam mendapat kesempatan, mereka pasti akan menyuarakan sokongan dan pembelaan terhadap rakyat Palestin yang tertindas. Usaha regim Zionis Israel untuk menghapuskan Palestin dari peta dunia selama 60 tahun sampai ke saat ini belum mencapai matlamatnya. Ini semua berkat semangat juang ummat Islam dalam membela nasib Palestin. Jika semangat seumpama ini dimiliki sejak dahulu, nescaya negara-negara ummat Islam pasti tidak akan mampu diduduki oleh negara-negara imperialis."
Dalam khutbahnya, Rahbar turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya 'Aidil Fitri kepada ummat Islam yang berada di seluruh dunia.

No comments: