Wednesday, October 15, 2008

MOTTAKI : IRAN MEMILIKI RAKYAT YANG PENUH SANTUN

Menteri Luar Republik Islam Iran, Manouchehr Mottaki mengatakan, rakyat Iran adalah bangsa yang santun dan suka berdialog. Menurutnya, perkara ini adalah kunci perpaduan dan keberadaan rakyat Iran. Sewaktu mengadakan pertemuan dengan mantan Presiden Portugal, Jorge Sampaio, beliau menyatakan bahawa Iran adalah pencetus utama gagasan untuk menganjurkan dialog antara agama di peringkat antarabangsa. Tambahnya, imperialisme yang bertopengkan 'dialog antara agama' jelas telah mencoreng idea murni tersebut.
Mottaki juga mengkritik mereka yang hanya mampu berbicara dan tidak mahu mendengarkan pendapat pihak lain serta mengaku telah menciptakan keamanan di dunia. Namun para pencinta keadilan, kebenaran dan perdamaian menganggap dakwaan tersebut tidak mampu menjamin prospek masa depan dunia.
Sambil mengisyaratkan 130 buah program selama 60 tahun yang gagal menyelesaikan masalah Palestin, Mottaki menegaskan, tidak adanya keadilan dalam perencanaan tersebut menjadi punca utama yang mengakibatkan kegagalan program itu sendiri.
Mottaki turut menolak kaedah penggunaan ketenteraan dalam menangani sebarang krisis dan menyebut bahawa pasukan tentera Amerika Syarikat di Iraq tidak pernah mengalami masalah kekurangan senjata dan dana, namun mereka tidak memiliki alasan yang kuat untuk menghalalkan setiap tindakan rakus mereka.
Sementara itu, Jorge Sampaio menganggap Iran sebagai sebuah negara yang berbudaya, maju dan memiliki potensi besar untuk terus berperanan dengan lebih aktif dalam pelbagai sidang dialog. Beliau turut meyakini bahawa ketidakadilan adalah penghalang utama ke arah tercapainya persefahaman, perdamaian dan kestabilan di dunia.

No comments: