Tuesday, October 7, 2008

GEMPA BUMI LANDA ASIA TENGAH...72 MAUT DI KYRGYZSTAN DAN 30 DI TIBET

*PEKERJA penyelamat Kyrgyzstan memeriksa mayat-mayat di tapak gempa bumi dalam daerah Nura, perkampungan di pergunungan Kyrgyzstan yang memisahkan dengan China. Usaha mencari mangsa yang terselamat dilakukan selepas satu gempa bumi kuat membunuh sekurang-kurangnya 72 orang, 41 terdiri daripada kanak-kanak. - Foto AFP

BISHKEK : Satu gempa bumi kuat melanda kawasan pergunungan Asia Tengah di selatan Kyrgyzstan menyebabkan 72 orang penduduk terbunuh dan lebih 100 buah bangunan musnah, kata pasukan kecemasan, semalam.
Beberapa gempa bumi juga menggegarkan wilayah Xinjiang dan Tibet, selepas gegaran melanda Kyrgyzstan. Gempa di Tibet berukuran 6.6 pada skala Richter dan melanda pada pukul 4.30 petang waktu tempatan kira-kira 80 kilometer dari ibu kota, Lhasa. Laporan terbaru menyatakan, 30 orang terbunuh dan masih ada lagi yang tertimbus di Gedar, daerah Damxung, barat Lhasa.
Di Bishkek, jurucakap Kementerian Keadaan Kecemasan, Abdusamat Payazov, berkata gempa yang amat kuat berhampiran sempadan Kyrgyzstan-Tajikistan itu melanda sebuah kampung terpencil, Nura sehingga mencederakan 80 orang. Katanya, pusat gempa adalah di Tajikistan, iaitu kira-kira 350 kilometer di selatan ibu negara Kyrgyzstan, Bishkek dan gegaran dirasai sehingga ke wilayah Osh.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat pula melaporkan gempa berukuran 6.6 pada skala Richter itu berpusat di Kyrgyzstan. Satu gempa susulan berukuran 5.1 pada skala Richter berlaku beberapa jam selepas gempa pertama semalam. Payazov berkata, sebahagian mangsa yang cedera turut tenat dan pihak kementerian serta tentera menghantar lebih banyak pasukan penyelamat dan doktor ke sebuah kampung yang musnah sama sekali.
"Perkampungan itu dilaporkan mempunyai 1,000 orang penduduk. Presiden Kurmanbek Bakiyev akan mengunjungi Nura hari ini," kata pegawai kerajaan.
Kedutaan Russia di sini berkata, Moscow akan menghantar bantuan kemanusiaan ke negara itu. Gempa bumi sering melanda Asia Tengah yang terletak di antara Afghanistan, Iran, Russia dan China. Pada 1966, ibu negara Uzbekistan, Tashkent, musnah selepas dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang menyebabkan beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal.

No comments: