Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran atau Rahbar, Ayatullah al-'Uzma Sayyid 'Ali Khamenei menegaskan, "Tugas terpenting para pemuda Muslim adalah berusaha dengan penuh semangat berserta dengan sikap rasional dalam mewujudkan kemajuan dan keadilan pada dekad ke-4 Revolusi Islam."
Kenyataan itu dikemukakan pada 28 September 2008 oleh Rahbar dalam sebuah pertemuan dengan para mahasiswa dan cendekiawan universiti. Katanya, "Generasi muda Muslim yang bersemangat waja perlu melangkah ke depan bagi menghasilkan inovasi melalui perspektif baru, mewujudkan ummat Islam yang maju di bidang material dan spiritual dengan visi yang penuh dengan harapan, dengan kerja keras tanpa henti dan pengurusan yang baik."
Ketika menghuraikan kemajuan yang sedang dipacu oleh Republik Islam Iran, Rahbar menjelaskan, "Kemajuan tersebut harus bersifat multidimensi dan mencakup kemajuan di bidang material dan spiritual."
Rahbar turut mengingatkan, "Dalam proses mencapai kemajuan tersebut, para pemuda tidak patut menyimpang dari landasan Islam. Salah satu bentuk penyimpangan ialah membawa masyarakat ke arah unsur-unsur lahiriyah Barat dan menilainya sebagai sebuah kemajuan. Contoh lain dari penyimpangan ialah pemikiran yang tidak menolak identiti Iran yang berwajah Islam namun pada masa yang sama sentiasa berprasangka buruk terhadap kemajuan bangsa. Sayang sekali pemikiran seperti ini dinilai sebagai 'realisme' . Pemikiran seperti ini membawa pengertian bahawa ummat Islam sememangnya ditakdirkan untuk sentiasa bergantung dan menuruti telunjuk negara-negara Barat. Pemikiran yang songsang dan menyeleweng ini bertentangan dengan pengalaman panjang ummat manusia yang menyaksikan bahawa Allah (swt) tidak pernah menciptakan sekelompok manusia yang sejak dari awal memiliki kemajuan lebih unggul berbanding kelompok manusia yang lain."
Berhubung pelbagai kemajuan teknologi yang telah dicapai oleh Iran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Rahbar menyatakan, "Pemikiran songsang tersebut pada awalnya menganggap bahawa usaha untuk mencapai kemajuan yang dilakukan oleh bangsa Iran tidak memiliki sebarang manfaat dan hasil. Namun berkat para pemuda yang bersemangat waja dan bekerja keras, kini di pelbagai bidang dan lapangan, Republik Islam Iran telah mencapai kemajuan yang sangat pesat bahkan melebihi tahap yang dicapai oleh kebanyakan negara-negara maju itu sendiri."
No comments:
Post a Comment